10 Oktober, Kuching — Dinamika Pendidikan dan Kelestarian Sumber Manusia adalah antara perkara yang diperhalusi untuk kesediaan kerjasama antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) di ibu pejabat PETROS pada petang Rabu lalu.
Perkara itu membuka peluang kepada MPI sebagai penyedia latihan untuk mendekati pelajar pengajian tinggi dengan peluang “belajar di industri” melalui pembiayaan swasta.
Bagi perbincangan lanjut MPI dan PETROS akan duduk bersama merangka inisiatif program untuk dijayakan pada tahun 2025.
Hal itu dibincangkan dalam lawatan MPI, yang dipimpin oleh Presiden Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail ke PETROS dan disambut oleh Tuan Haji Ismail Said, Senior Vice President Human Capital & Relations PETROS; bersama Encik Joseph Balan, Head of Corporate Communications; dan Encik Aaron Gugkang, Senior Communications Specialist.
Pertemuan ini antara lain membincangkan strategi masa depan dalam komunikasi media, teknologi dan kewartawanan.
PETROS komited untuk memainkan peranan yang signifikan dalam memacu kemajuan dan pembangunan mampan di Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 2017.
Inisiatif ini sejajar dengan Visi Sarawak 2030, yang bertujuan untuk mentransformasi Sarawak menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju dengan usaha PETROS memanfaatkan sumber gas semulajadi ke arah pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
