SHAH ALAM, 8 Januari 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi akademik dan industri media negara.
Kunjungan tersebut menjadi platform perbincangan mengenai potensi kerjasama dua hala antara UiTM dan MPI, khususnya melibatkan pemerkasaan jalinan industri dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang dilihat semakin penting dalam mendepani cabaran landskap media semasa.
Delegasi MPI diketuai oleh Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MPI bersama Puan Norlida Jamain, Pengurus Besar; Puan Norfatin Syahira Jusoh, Eksekutif Kesetiausahaan/ Pentadbiran dan Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif.
Sementara itu, pihak UiTM turut disertai oleh Prof. Dr. Abd. Rasid bin Abd. Rahman, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media; Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik); Encik Wan Mohd Lutfi Hakim Wan Sulieman, Pegawai Eksekutif Kanan; Dr. Khairun Nizam Mohammad Yusuff, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Kerani Pejabat Komunikasi Strategik, Puan Nurul Nadia Mohd Din.
MPI berpandangan kerjasama erat antara industri dan IPT merupakan elemen kritikal dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing, beretika serta relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa kini.
Kunjungan hormat ini diharapkan menjadi titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif bersama antara UiTM dan MPI pada masa akan datang, sejajar dengan aspirasi memperkasa ekosistem media dan pendidikan tinggi negara.












