KUALA LUMPUR, 7 Mac – Satu pertemuan penting telah diadakan antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Menara PERKESO, Jalan Ampang. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan penganjuran anugerah media yang akan diumumkan oleh pihak PERKESO dalam masa terdekat.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Komunikasi & Hal Ehwal Korporat PERKESO, Encik Roshaimi Mat Rosely, bersama-sama Ketua Cawangan Komunikasi Strategik dan Penjenamaan Jenama & Editorial, Dato’ Tengku Khalidah Tengku Bidin serta barisan pegawai komunikasi korporat PERKESO.
Delegasi MPI pula diketuai oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain dan Pengurus Anugerah, Encik Salman Husni Abdollah.
Anugerah Media ini bertujuan untuk mengiktiraf laporan terbaik berkaitan dengan PERKESO, sekaligus menjadi penghargaan daripada PERKESO kepada pengamal media tempatan. Majlis penganjuran anugerah media ini dijangka akan berlangsung pada bulan Julai ini.


