Putrajaya, 21 Mac 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) mengadakan kunjungan hormat ke YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof di Menara PETRA, Putrajaya hari ini.
Delegasi MPI diketuai oleh Presidennya, Datuk Yong Soo Heong, bersama barisan Ahli Majlis Pentadbir Encik Zamri Rambli, Encik Azri Atan, Encik Choo Joon Kian dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Datuk Mustapa Omar. Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail, dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain.
Kunjungan ini bertujuan menjemput YAB Timbalan Perdana Menteri sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2025, acara berprestij yang meraikan kecemerlangan dunia kewartawanan negara.
“MPI berbesar hati dan berterima kasih kepada YAB Dato’ Sri kerana menerima jemputan ini dan mengesahkan kehadiran beliau sebagai tetamu kehormat Malam Wartawan Malaysia 2025”, kata Presiden MPI.
Malam Wartawan Malaysia adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Malaysian Press Institute bertujuan menghimpunkan dan meraikan komuniti pengamal media tempatan dengan mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan sepanjang tahun 2024 melalui Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI PETRONAS 2024. Ia dijadualkan berlangsung pada 20 Jun bertempat di Kuala Lumpur.

