Cyberjaya, 2 Mei 2025 — Wartawan masa kini perlu mencari pendekatan yang berbeza dalam penulisan berita, dengan memberi tumpuan kepada analisis mendalam dan laporan yang menyertakan fakta, statistik dan data yang tepat. Hal ini dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Haji Ainol Amriz Ismail pada pertemuan dengan dua pelajar Universiti Malaya di pejabat MPI, di sini.
Sesi temubual itu adalah sebahagian tugasan pelajar berkenaan, yang memberi fokus terhadap pengalaman dan peranan MPI, bagi memperkasakan ilmu dan bidang itu kepada pengamalnya.
Haji Ainol berkata, telah berlaku perubahan dalam dunia kewartawanan masa kini. Ini termasuklah peralihan corak pelaporan langsung (Direct Reporting) wartawan berbanding kecepatan informasi yang dilakukan oleh citizen journalist yang berada di lapangan. Perkara itu dijelaskan sebagai struktur kewartawanan baru yang mahir teknologi, sekali gus menandingi kuasa pelaporan yang dilakukan oleh citizen journalist.
Perkongsian ini juga memberikan penekanan terhadap penggunaan AI dalam pelaporan berita serta kecermatan dalam membuat arahan kepada penghasilan AI (prompt), supaya tidak berlaku kesilapan atau diambil mudah setiap penghasilan yang diterjemahkan oleh AI. Haji Ainol berkata, setiap perkara yang dihasilkan itu perlu disemak dengan teliti untuk menghalang kecelaruan maklumat.
Selain itu, Haji Ainol turut berkongsi tranformasi perjalanan media zaman konvensional kepada digital dan bagaimana lajunya maklumat itu, yang hari ini diperolehi melalui gajet dan teknologi.
“Kita tidak boleh leka dengan corak lama, sedangkan perubahan maklumat itu bergerak pantas dalam pentas teknologi dan media sosial. Kealpaan ini, boleh menyebabkan maklumat tercicir. Ini akan menyebabkan khalayak beralih dan percaya kepada apa yang dilakukan oleh citizen journalist (netizen) berbanding media professional.
“Ubah cara pelaporan, cepat dan berfakta, tulis dengan gaya baharu iaitu dalam bentuk analisis. Terangkan dan berikan solusi selain pelaporan di lokasi. Matangkan gaya penulisan dan pastikan ia ‘tajam’ dan menangkap perhatian pembaca dan penonton,” jelasnya.
Ini adalah cara bagi wartawan untuk menghasilkan laporan yang mempunyai impak positif kepada masyarakat dan memberi nilai tambah berbanding pelaporan biasa yang telah pun dikuasai oleh citizen journalist.
Di akhir sesi pertemuan, Thievya Ramachandran dan Nandhini A/P Sarguna Rajoo berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Hj Ainol Amriz Ismail dan menerima cenderamata daripada Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain.



