AKeMEDIA 2025 Semarak Kreativiti Media, 21 Penerima Diiktiraf

KUALA LUMPUR, 18 November 2025 — Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AKeMEDIA) 2025 telah melabuhkan tirainya semalam dalam sebuah majlis penuh meriah di Pavilion Hotel, Kuala Lumpur.

Majlis menampilkan ucaptama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, yang merakamkan penghargaan kepada para pengamal media atas dedikasi mereka dalam menyampaikan agenda dan inisiatif KPKT secara tepat, beretika dan berkesan kepada masyarakat.

“Saya difahamkan AKeMedia tahun ini telah menerima lebih 240 penyertaan dan ini telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysian Press Institute (MPI) selaku Sekretariat Pertandingan dan Penjurian yang telah menguruskan hal ehwal penjurian AKeMedia dari aspek kualiti laporan dan persembahan fakta,” kata YB Tuan Nga Kor Ming.

Tahun ini, Malaysian Press Institute (MPI) berperanan sebagai rakan strategik penjurian, sekali gus memperkukuh kredibiliti dan ketelusan proses pemilihan pemenang. Kehadiran Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, bersama sekretariat MPI yang lain turut menyerikan majlis berprestij tersebut.

Sebanyak lapan kategori utama dipertandingkan pada edisi tahun ini, iaitu:

• Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik

• Anugerah Video Portal & Dalam Talian

• Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik

• Anugerah Penyiaran Radio Terbaik

• Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik

• Anugerah ‘Content’ Media Sosial Terbaik

• Anugerah Influencer Terbaik

• Anugerah Khas Menteri (Kategori Utama)

“Kemunculan syarikat media kecil dan sederhana dalam industri media memperlihatkan kemampuan mereka menyaingi organisasi media massa yang sedia ada dengan kandungan kreativiti yang tinggi dan serta merta menawan hati penonton dan pembaca. Moga saingan hebat ini boleh mencetuskan gerakan inovatif dalam dunia kewartawanan negara.” kata Encik Salman Husni, Pengurus Penyelaras Anugerah Media MPI.

Melangkah ke hadapan, MPI berharap agar kerjasama strategik antara KPKT dan pengamal media terus diperkukuh, bagi memperkasa komunikasi awam serta memacu pembangunan negara selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan tahniah buat 21 penerima hadiah AKeMEDIA KPKT 2025.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest