Ucapan Aluan Malam Wartawan Malaysia 2025 | Datuk Yong Soo Heong, Presiden MPI

UCAPAN DATUK YONG SOO HEONG
PRESIDEN MALAYSIAN PRESS INSTITUTE (MPI)

MALAM WARTAWAN MALAYSIA 2025 & HADIAH KEWARTAWANAN MALAYSIA MPI-PETRONAS 2024
20 JUN 2025, KUALA LUMPUR

———————————————————————-

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani, Good Evening, Ta Chia How dan Vanakam.

Malam ini bukan sekadar malam meraikan pemenang. Ia malam pengiktirafan kepada insan-insan di sebalik berita – mereka yang saban hari menyampaikan maklumat, membentuk kefahaman dan membela suara rakyat.

Terima kasih kepada PETRONAS – penaja utama yang terus komited mengangkat martabat kewartawanan.

Tidak dilupakan, semua penaja lain – anda tulang belakang ekosistem media yang lestari.

PERANAN MPI SEBAGAI PUSAT LATIHAN MEDIA NEGARA

MPI bukan sekadar penganjur anugerah. Sejak penubuhannya, MPI telah menjadi medan latihan, pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk wartawan negara.

Wartawan yang berkesan tidak lahir secara spontan – mereka diasah, dilatih dan dibentuk. Dalam dunia yang berubah pantas, latihan bukan lagi pilihan – ia keperluan.  MPI melihat realiti ini sebagai peluang. Peluang untuk kami mengukuhkan peranan sebagai pusat latihan utama kewartawanan di negara ini.

Justeru itu, MPI bukan lagi hanya sekadar penganjur bengkel atau kursus jangka pendek. Kini, MPI menuju ke aspirasi lebih tinggi di mana suatu hari nanti – menjadi ‘universiti kewartawanan’ Malaysia.

Kami berharap menyediakan sebuah “ruang” yang merangsang pertumbuhan minda kritikal, membina kemahiran teknikal dan mendalami falsafah etika dalam profesion ini.

Wartawan hari ini perlu lebih daripada sekadar mampu menulis, malah mereka perlu menjadi penganalisis, penyampai visual, moderator wacana dan pencetus perubahan.

Oleh itu, kami berharap mengambil “baby steps” atau langkah permulaan dalam aspirasi kami dan akan lebih menerokai penulisan mendalam, kewartawanan penyiasatan, kemahiran AI, analitik data besar serta penghasilan kandungan digital merentas platform.

Kami juga memberi tumpuan kepada daya tahan emosi dan etika, agar wartawan kekal utuh dalam tekanan. Ini bermakna, MPI tidak akan melatih untuk hari ini sahaja – kami sedang membina wartawan masa depan supaya mereka seperti dalam peribahasa – PAGI TIDAK DIBUANG, SENJA TIDAK DIKEJAR.

TUJUAN ANUGERAH: PENGIKTIRAFAN DAN PENANDA MUTU

Hadirin sekalian,

Hadiah Kewartawanan Malaysia ini bukan hanya tentang trofi. Ia lambang pengiktirafan terhadap karya yang mencapai mutu tertinggi – tepat, teliti dan bertanggungjawab.

Ia juga galakan moral untuk wartawan muda – agar tidak hanya mengejar pantas, tetapi menegakkan kebenaran. Kita perlukan wartawan yang mampu mencetus perubahan dasar, membina kefahaman awam, dan merekod sejarah dengan integriti.

Anugerah ini memberi isyarat jelas: dalam lautan maklumat, masih ada suara yang jujur dan laporan yang tidak tunduk kepada klik semata.

CABARAN MASA HADAPAN: KEUPAYAAN VERSUS KEBENARAN

Dunia kewartawanan sedang berdepan cabaran luar biasa – AI, algoritma dan automasi kini bersaing menghasilkan kandungan 24 jam sehari.

Dalam realiti ini, wartawan perlu lebih daripada sekadar cekap menulis – mereka perlu faham teknologi, taktik manipulasi, dan tahu menilai maklumat secara kritikal.

Namun ingat, dalam era digital, kredibiliti tetap menjadi mata wang utama. Teknologi membantu – tetapi etika yang menjaga kepercayaan. MPI akan terus melatih wartawan yang bukan hanya cekap digital, tetapi juga berakar pada prinsip.

MPI DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Dalam kita meraikan yang cemerlang, kita tidak lupa yang terpinggir. We should not leave those who are downtrodden out in the cold.

Hari ini, realitinya begitu jelas, industri media sedang melalui fasa transformasi yang amat mencabar.

Penstrukturan semula organisasi, penyusutan operasi, perubahan model perniagaan dan kemunculan teknologi disruptif telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada ramai wartawan.

Ada yang terpaksa menerima hakikat diberhentikan kerja secara tiba-tiba. Ada yang hilang punca pendapatan setelah syarikat media ditutup atau dikecilkan.

Ada juga yang diuji dengan masalah kesihatan, ditimpa musibah, dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan dalam keadaan yang jauh berbeza daripada dahulu.

Oleh itu, MPI sedang merangka rancangan bantuan jangka panjang – latihan semula, peluang kerjaya baharu, dan saluran kepakaran. Kami yakin, setiap wartawan masih punya nilai dan potensi untuk menyumbang – selagi diberi peluang.

PENUTUP

Masa depan media bergantung kepada tindakan kita hari ini. MPI akan terus menjadi pemangkin harapan dan pembina kecemerlangan.

Tahniah kepada para pemenang. Anda membuktikan bahawa dalam dunia yang pantas, masih ada ruang untuk karya bermutu.

Dan kepada semua wartawan: terus menulis, terus mencari kebenaran, terus menjadi suara rakyat.

Saya mengakhiri ucapan saya dengan sebuah pantun:

MENCARI ILMU DI ATAS GUNUNG
TAPI JANGANLAH TERLALU LAMA BERTAPA
KALAU MELENTUR KETIKA REBUNG
MUDAH DIBENTUK PELBAGAI RUPA

Sekian. terima kasih!

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter