Cyberjaya, 28 April 2025 – Kursus Istilah Baharu Kewartawanan diteruskan pada pagi ini dengan sesi bersama Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Encik Sharanjit Singh yang sedang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Dalam sesi ini, penceramah memperkenalkan kepada para peserta tentang istilah-istilah penting yang digunakan dalam pelaporan berita mahkamah. Beliau menerangkan maksud istilah tertentu yang sering digunakan dalam laporan berkaitan prosiding mahkamah serta bagaimana penggunaan istilah yang tepat dapat membantu wartawan menyampaikan fakta dengan lebih jelas dan bertanggungjawab.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada kepentingan memahami istilah teknikal dalam dunia kehakiman supaya laporan yang dihasilkan tidak menimbulkan kekeliruan, salah faham, atau risiko melanggar undang-undang, terutamanya yang berkaitan penghinaan mahkamah (contempt of court).
Sesi ini memberikan pendedahan praktikal kepada peserta tentang bagaimana menggunakan istilah berita mahkamah secara betul dalam penulisan harian, sekali gus meningkatkan ketepatan dan kualiti laporan berita yang disampaikan kepada masyarakat.


