Cyberjaya, 20 Mac 2025 – Pusat Latihan Malaysian Press Institute menjadi tuan rumah bagi Bengkel Kelestarian Penulisan Profesional yang berlangsung hari ini, bersama penceramah Dr. G Manimaran.
Bengkel ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai media dan komunikasi yang mewakili organisasi masing-masing dengan harapan bagi memperkasa kemahiran penulisan mereka dalam era digital yang penuh cabaran kini. Antara yang hadir adalah dari Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta kakitangan MPI yang turut berpeluang menimba ilmu penulisan dari penceramah tersohor.
Penceramah turut berkongsi pelbagai panduan dan teknik terbaik dalam menghasilkan penulisan yang beretika, tepat, dan relevan, selaras dengan perkembangan pesat industri media. Peserta juga berpeluang melakukan latihan bagi menilai berita yang berkesan atau sebaliknya.
Pendedahan seumpama ini dapat membuka mata peserta tentang pentingnya kelestarian dalam penulisan serta cara-cara mengadaptasi pelaporan berita sejajar dengan perubahan teknologi dan keperluan pembaca pada hari ini.


