Hari kedua Kursus Penulisan dan Penerbitan E-Jurnal yang berlangsung pada 15 April 2025 diteruskan dengan sesi yang padat dan penuh informasi, dikendalikan oleh Dr. Muhammad Raqib Mohd Sofian, pensyarah kanan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Beliau berkongsi kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang penulisan akademik dan penerbitan jurnal, yang sangat relevan kepada para peserta kursus yang terdiri daripada pengamal media, pegawai penerangan, pegawai strategik persekutuan serta pesara guru yang ingin mengetahui dengan cara yang betul menulis jurnal dalam bentuk akademik.
Sesi yang berlangsung pada hari ini membawa para peserta menyelami tajuk-tajuk penting yang menjadi tunjang kepada kejayaan penerbitan akademik, iaitu Navigasi Dunia Penerbitan Akademik, Proses Penerbitan Jurnal: Dari Penyerahan Hingga Penerimaan dan Strategi Meningkatkan Keterlihatan Artikel
Mengakhiri sesi, Dr. Raqib berkongsi strategi dan amalan terbaik untuk memastikan artikel yang diterbitkan mendapat keterlihatan dan impak yang sewajarnya.
Sepanjang sesi, para peserta terlibat secara aktif dengan sesi soal jawab dan perbincangan interaktif, mencerminkan minat mendalam dan keperluan yang tinggi terhadap kemahiran dalam dunia penerbitan akademik.
Secara keseluruhan, kursus dua hari ini bukan sahaja memperkasakan peserta dengan ilmu praktikal, tetapi juga menyuntik inspirasi untuk terus berkarya dan menyumbang kepada pembangunan ilmu melalui penulisan ilmiah.

