Pengamal Media Perkasa Kemahiran Digital dalam Bengkel Kewartawanan Solo MPI

Cyberjaya, 24 April 2025 – Bengkel Kewartawanan Solo yang berlangsung di Pusat Latihan Malaysian Press Institute (MPI) kini melabuhkan tirai dengan jayanya. Bermula pada 22 April 2025, bengkel selama tiga hari ini telah memberikan pendedahan komprehensif kepada peserta dalam bidang kewartawanan digital secara solo.

Sesi penutup bengkel telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, menerusi perkongsian eksklusif bertajuk Media 5.0. Sesi ini memberi tumpuan kepada penghasilan video pendek dalam era digital, dengan membimbing peserta melalui keseluruhan proses – dari penulisan skrip, teknik penggambaran, sehinggalah kepada pemahaman mengenai algoritma media terkini, yang semakin mempengaruhi landskap penyebaran berita hari ini.

Sebagai penutup program, para peserta berkesempatan mempersembahkan hasil video masing-masing untuk dinilai. Penilaian teliti serta maklum balas membina daripada penceramah bukan sahaja membantu meningkatkan mutu penghasilan peserta, malah menyerlahkan tahap kreativiti dan profesionalisme mereka.

MPI merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua peserta atas penyertaan aktif dan komitmen tinggi sepanjang bengkel berlangsung. Bengkel Kewartawanan Solo terbukti menjadi platform berimpak dalam memperkasakan pengamal media dengan kemahiran kontemporari yang amat diperlukan dalam ekosistem media masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail menyampaikan sesi yang bertajuk 5.0 Video Pendek.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest