Kuala Lumpur, 27 Mac – Program perkongsian ilmu mengenai industri tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) telah diadakan di Pusat Konvensyen Leo Moggie, Bangsar semalam.
Program ini merupakan inisiatif TNB menerusi Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) bertujuan meningkatkan pemahaman pengamal media terutamanya wartawan mengenai sektor tenaga dan operasi TNB.
Seramai 24 pengamal media dari pelbagai organisasi telah menyertainya. Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong turut menghadiri program ini berkongsikan pandangan mengenai industri tenaga daripada perspektif media.
Pakar industri tenaga daripada TNB telah menyampaikan ceramah mengikut kepakaran masing-masing, antaranya mengenai Introduction and Intercentive-based Regulation (IBR), Tariff Structure dan National Energy Transition Roadmap (NETR). Setiap slot perkongsian ilmu ini dibantu oleh En. Samsul Ariffin Zainuddin, Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat TNB sebagai moderator.
Majlis penutup disempurnakan dengan ucapan oleh Datuk Ir. Ts. Shamsul bin Ahmad, Ketua Pegawai Kawal Selia & Pengurusan Pemegang Taruh TNB serta dihadiri Tuan Haji Ainol Amriz, Ketua Pegawai Eksekutif MPI.
Peserta telah memanfaatkan sepenuhnya sesi perkongsian dengan berinteraksi dengan pakar-pakar TNB bagi memastikan penyampaian maklumat mereka tepat dan mudah difahami di kalangan khalayak.
Program berakhir dengan peserta diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pengurusan TNB termasuk Datuk Ir. Ts. Shamsul dan Ahli Majlis Pentadbiran MPI terdiri daripada Datuk Yong Soo Heong, En. Mohd. Azri Atan (Editor Pengurusan, TV3) dan En. Choo Joon Kian (Editor, Sin Chew Daily).
Laporan Muhamad Faris Faisal
Jurugambar Muhammad Asyraf Rosmidi








