Kuching, 30 Julai 2025 – Kursus Penulisan Era Baharu: Struktur, Suntingan & Konsep Dipacu Teknologi anjuran Malaysian Press Institute (MPI) bersama TV Sarawak (TVS) melabuhkan tirai hari ini dengan pengisian menyeluruh pada hari kedua.
Dalam sesi terakhir, peserta didedahkan kepada kaedah menyunting dan meningkatkan kandungan penulisan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), selaras dengan keperluan bilik berita moden yang pantas dan berimpak tinggi.
Selain itu, aspek penting berkaitan etika penulisan dan tanggungjawab media dalam era digital turut ditekankan bagi memastikan setiap laporan disampaikan dengan penuh integriti dan berlandaskan prinsip kewartawanan profesional.
Kursus selama dua hari ini dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Encik Zamri Rambli dan merupakan program ketiga hasil kerjasama MPI dan TVS, selepas Kursus Kewartawanan Data dan Latihan Kecerdasan Buatan dalam Bilik Berita yang dijalankan sebelum ini.
MPI komited untuk terus memperkasa wartawan dan pengamal media menerusi latihan bersifat praktikal dan relevan demi melahirkan generasi wartawan cekap, beretika dan bersedia menghadapi cabaran landskap media digital.

















