Melihatkan perwatakan yang ceria dan berani, seorang gadis Penan dipelawa untuk menyertai agensi media Suara Sarawak / Sarawak Tribune sebagai wartawan – satu-satunya, komuniti Penan yang kini bertugas di media.
Colinna Radang yang kini bertugas sebagai wartawan di Suara Sarawak, diberi peluang ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif agensi akhbar ini, Datuk Dr Jeniri Amir.
“Apabila saya nyatakan, saya mahukan wartawan daripada komuniti Penan, saya minta staf carikan dan dapatkan, termasuklah dirisik dalam mana-mana university. Akhirnya kami dimaklumkan ada seorang gadis Penan yang berminat dalam bidang ini.
“Kami terus tawarkan jawatan ini dan gadis itu tidak menolak dan sanggup belajar untuk memahirkan diri sebagai wartawan. Kami di Suara Sarawak / Sarawak Tribune memberikan tunjuk ajar sebaiknya untuk memastikan Colinna benar-benar bersedia untuk menjadi wartawan,’’ katanya semasa menerima kunjungan delegasi Malaysian Press Institute (MPI) di pejabatnya di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.
Colinna yang ditemui MPI memberitahu, dia pada mulanya merasa malu, takut dan tidak yakin apabila terlibat dalam dunia kewartawanan.
“Lama kelamaan, saya menjadi seronok dan mula belajar dan memahami struktur pelaporan berita, menulis dan menggunakan media sosial dalam menyampaikan info kepada rakyat.
“Saya dibawa bertemu Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Masa itu, saya diperkenalkan sebagai gadis Penan oleh bos saya. Oleh kerana tidak tahu tentang protokol yang perlu saya ikuti, saya terus melambaikan tangan pada beliau. Selepas peristiwa itu, saya belajar banyak perkara termasuk protokol dan bertambah yakin dengan kerjaya kewartawanan ini,’’ katanya.
Colinna ketika ini menjadi satu-satunya wartawan dari komuniti Penan yang menjadi wartawan di Sarawak.
“Latihan sangat diperlukan dalam bidang media baharu, termasuklah cara menyunting video, rakaman dan bertutur depan kamera. Saya amat memerlukan latihan ini dan melalui MPI, saya yakin ia dapat dikembangkan terutama kepada wartawan muda seperti saya dan rakan-rakan,’’ katanya.
Colinna adalah simbol kekuatan wartawan yang kurang mempunyai asas dan ilmu penulisan berita, tetapi diberi peluang dan ruang oleh agensi media membina bakat, sekali gus menjadikan beliau sebagai ikon – kewartawanan muda yang digilap menjadi lebih sukses.
