Cyberjaya, 22 Oktober 2024 – Suatu mini forum mengenai media dan kewartawanan untuk pelajar-pelajar universiti di Sarawak bakal berlangsung esok di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan.
Forum setengah hari bertemakan “Landskap Media Baharu Era Digital” ini adalah anjuran Malaysian Press Institute (MPI), sebuah institusi penyedia latihan kewartawanan, media dan komunikasi nasional bekerjasama dengan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS.
Program ini bertujuan untuk mengemas kini dan memberi pendedahan tentang perkembangan terbaharu dalam industri media supaya para pelajar bidang media/kewartawanan/komunikasi lebih memahami dunia kewartawanan sebelum memasuki pasaran pekerjaan.
Panelis forum terdiri daripada Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail.
Turut hadir ialah Dr Dilah Tuah, Dekan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi UNIMAS yang akan menyampaikan ucapan aluan dan wakil pengurusan tertinggi Sarawak Energy yang menaja program ini.
Berikut adalah butiran forum:
Tarikh: 23 Oktober 2024 (Rabu)
Venu: Auditorium PeTARY UNIMAS, Kota Samarahan
Jam: 10.00pagi-12.00 t/hari
Tema/Topik : Landskap Media Baharu Era Digital
“Diharap seramai 100 pelajar yang hadir akan mendapat manfaat dan mempersiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang komprehensif mengenai profesion kewartawanan bermula di peringkat universiti lagi”, ujar Datuk Yong Soo Heong, Presiden MPI dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sehubungan itu, para wartawan/pemberita/jurugambar/jurukamera setiap pertubuhan media terutamanya di Sarawak dijemput hadir membuat liputan program ini.
Dilampirkan poster dan aturcara forum untuk makluman. Sebarang pertanyaan, boleh hubungi Puan Shima, Pengurus Kanan, Pembangunan Bisnes MPI di talian 03-86892717.
MALAYSIAN PRESS INSTITUTE
22 Oktober 2024