Jika hari ini kita tidak mempunyai mana-mana platform media sosial, pastinya kita tidak akan mengetahui isu mengenai peniaga belon, kebakaran gas di Putra Heights, isu lagu Kebesaran Negeri Perak dan pelbagai lagi isu lain yang menjadi topik hangat perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial. Ironinya, kecanggihan media sosial yang kita miliki sekarang ini bukan sahaja memberi faedah dan manfaat namun turut menjadi medan pertempuran pendapat tentang sesuatu isu dan lambakan maklumat melalui penyebaran video viral, gambar yang sudah disunting dan juga ciapan dan komen yang berulang.
Perbincangan mengenai keupayaan cybertroopers, representasi media dan perang persepsi dalam kalangan masyarakat menjadi topik yang relevan untuk dibincangkan dalam konteks politik digital masa kini, juga boleh dibincangkan dari konteks bagaimana isu dan insiden semasa yang berlaku mudah dimanipulasi melalui kandungan media sehingga mengganggu keseimbangan pemikiran seseorang untuk berfikir secara neutral yang akhirnya memberi persepsi buruk atau negatif terhadap sesuatu isu.
Berbicara mengenai cybertroopers, fenomena ini bukan baharu di Malaysia kerana menjadi cybertroopers ini sudah dilihat sebagai pekerjaan sampingan yang hanya memerlukan seseorang diupah untuk mencipta keraguan dan menjadi penyokong tegar kepada sesuatu perkara yang sedang hangat dibincangkan. Fenomena cybertroopers ini juga boleh diterjemahkan melalui salah satu teori komunikasi iaitu Spiral of Silence Theory yang diasaskan oleh Elisabeth Noelle-Neumann yang mana hasil kejayaan cybertroopers membentuk persepsi awam boleh menyebabkan seseorang individu itu mengambil langkah berdiam diri kerana takut diserang bertubi-tubi dengan kata-kata negatif sehingga mungkin boleh menyebabkan kepada isu kemurungan. Manakan tidak dengan ciapan dan komen berulang yang adakalanya menggunakan bahasa kasar, menghina, membandingkan atau berbaur ugutan menyebabkan ada sesetengahnya merasa takut untuk memberi pandangan. Oleh itu, mereka yang mempunyai pandangan dan pendapat yang sedikit berbeza merasa tersisih dek dominasi naratif yang ‘dicipta’ ini telah menenggelamkan pendapat lain dan akhirnya hanya satu pendapat yang dominan sahaja akan kedengaran walaupun ia bukanlah suara yang majoriti. Jadi, adakah situasi ini akan menghilangkan hak atau demokrasi untuk bersuara?
Apakah tugas cybertroopers ini yang hanya berani di media sosial? Mereka ditugaskan untuk mencipta ilusi atau gambaran melalui komen dan hantaran yang berulang-ulang sehingga akhirnya menyebabkan pengguna media sosial lain seakan-akan percaya dengan cerita rekaan mereka. Adakah dalam erti kata lain, cybertroopers ini mencipta sesuatu ciapan, hantaran atau komen yang tidak benar? Dalam era digital kini, masyarakat boleh menerima dan menghantar maklumat dengan mudah dan cepat pada bila-bila masa. Lihat sahaja di platform sembang iaitu WhatsApp dan Telegram, berapa banyak saluran (channel) yang kita sudah langgan atau ikuti hanya kerana ingin mendapatkan maklumat alternatif atau berita hangat mengenai sesuatu isu. Keinginan kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sesuatu isu menjadikan kita seperti wartawan penyiasat yang berjaya mendapat berita lebih cepat dan sensasi.
Normalisasi ini lambat laun akan membawa kepada satu trend bahawa persepsi akan mengatasi realiti yang akhirnya masyarakat lebih mempercayai naratif berita atau kandungan media yang berulang-ulang tanpa mencari, menyemak dan punya rasa untuk menilai kesahihan sesuatu berita atau maklumat yang diperolehi. Kita khuatir jika satu masa nanti, masyarakat mengambil jalan tengah dengan tidak mempercayai mana-mana sumber maklumat kerana tidak ingin berfikir panjang atau terlalu memikirkan mengenai sesuatu perkara yang bukan menjadi kewajipan kepada mereka. Dalam jangka masa panjang, ini akhirnya akan membentuk fatigue dalam cara masyarakat berfikir mengenai sesuatu.
Ke Mana Arah Kita
Justeru, membentuk educated society adalah penting kerana cabaran masa hadapan pastinya lebih hebat. Ini kerana siapa yang mengawal maklumat pastinya berjaya untuk mengawal minda seseorang. Lihat sahaja dengan lambakan isu semasa yang dimainkan di media sosial yang kita tidak pasti akan kesahihannya telah menyebabkan lebih banyak tajuk dan berita sensasi disebarkan. Apatah lagi dengan analisis yang tidak berfakta dan berat sebelah yang selalunya menjadi punca kepada penentuan persepsi seseorang individu terhadap sesuatu perkara.
Kempen memerangi berita palsu sudah acapkali diuar-uarkan, namun sejauh mana masyarakat menerima dan mengadaptasi kempen ini yang perlu kita lihat dan selidiki agar masyarakat atau pengguna media sosial boleh menilai dan berfikir secara matang dan rasional terhadap sesuatu perkara yang dibincangkan. Terkadang apabila kita mendengar ulasan tentang sesuatu isu di kedai kopi dan sebagainya, adakah kita pernah terfikir bahawa apa yang diulaskan itu benar atau kurang tepat? Populariti pempengaruh, kehebatan para intelek, akademia, pakar yang arif dalam bidangnya boleh membantu untuk mewujudkan educated society sama ada dalam ilmu ekonomi, kewangan teknologi, pelaburan, perniagaan dan sebagainya melalui hantaran, video dan podcast yang kini menjadi trend untuk mendidik masyarakat mendapat ilmu yang tepat seterusnya meningkatkan gaya hidup mereka.
Oleh itu, ke mana arah kita dalam mengambil peranan sebagai warga negara yang bertanggungjawab? Walaupun tidak menyumbang kepada khidmat fizikal, menjadi pemikir kepada pembangunan dasar atau polisi negara dan antarabangsa, namun cukup untuk menjadi warganet yang bijak berinteraksi dengan maklumat dalam membentuk masyarakat yang memiliki hati, akal dan jiwa yang sejahtera (madani).
Penulis:
Dr Fauziah Hassan
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)