Kewartawanan di Malaysia: Antara Sumbangan dan Hambatan

Artikel ini diterbitkan dalam buku cenderamata Hadiah Kewartawanan Malaysia 1999, di halaman 30 -31. Artikel ini ditulis oleh Othman Mohamad. Teks ini disalin semula dari teks asal tanpa merubah struktur teks bagi menghormati penulisan dan analisis penulis.

Sejarah kewartawanan Malaysia telah membuktikan ia telah turut memikul tugas tanggungjawab sosialnya dengan jelas. Sejajar dengan keadaan negara sedang membangun, fungsi itu umumnya wujud dengan sendirinya. Ia dapat dilihat dengan meneliti perkembangan media massa di Malaysia yang menghampiri dua abad bagi media cetak. Bagi radio sudah melepasi setengah abad manakala televisyen sudah mendekati setengah abad.

Bercakap soal peranan, media di Malaysia sama ada media cetak atau elektronik sejak kewujudannya telah melaksanakan tanggungiawab sosial dalam konteks acuan dan keperluan Malaysia. Malahan, selepas negara mencapai kemerdekaan media secara sendirinya bersama-sama memainkan peranan dan adalah tidak keterlaluan jika diandaikan pada satu tahap media tempatan lebih bercorak media pembangunan.

Dalam Media Asia (Jilid 13 No.4 1985), Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan menekankan soal tanggungjawab media massa di Malaysia. Antara lain beliau dipetik sebagai berkata:

“Tanggungjawab sosial adalah model terbaik bagi Malaysia tanpa mengira keadaan atau masa.”

Bagi Malaysia yang sedang mengejar status negara maju menjelang tahun 2020, peranan media dalam menyokong dasar-dasar kerajaan amatlah perlu. Selaras dengan keadaan tersebut, sistem media di Malaysia dilihat mengamalkan sistem campuran iaitu menggabungkan sistem autoritarisma, pembangunan, tanggungjawab sosial dan sistem bebas.

Fenomena berkenaan dijangka tidak akan mengalami banyak perubahan terutama dari segi dasar kawalan oleh pihak berkuasa. Ahli bidang media, Dr. Syed Arabi Idid pernah menyimpulkan bahawa sistem media di Malaysia seperti juga di negara-negara lain di dunia, banyak dipengaruhi oleh faktor pemboleh-ubahan terutama dasar dan program kerajaan. Namun, semuanya itu tidak bermakna media di Malaysia dibelenggu, tidak bebas. Sebagai sebuah negara demokrasi, kebebasan media tetap terjamin walaupun masih dikawal.

Umumnya, batas kebebasan akhbar di Malaysia ialah selagi ia tidak menyanggah isu-isu sensitif yang berkecenderungan menghancurkan dasar pembangunan negara termasuklah dalam konteks negara ini, keharmonian kaum.

Sekadar beberapa contoh, Kementerian Dalam Negeri pada tahun 1987 bertindak menarik balik permit beberapa akhbar tempatan seperti Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh. Walaupun tiada alasan dihebahkan, namun keadaan semasa itu serta trend liputan akhbar-akhbar berkenaan secara jelas menggambarkan tindakan pihak berkuasa itu ada kena mengena dengan keadaan ‘gangguan’ kepada keselamatan dan ketenteraman awam. (Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun memberi semula permit-permit penerbitan akhbar-akhbar berkenaan pada 28 Oktober tahun yang sama).

Ini bermakna penerimaan terhadap kebebasan akhbar adalah jelas – tiada kebebasan mutlak. Ia semata-mata untuk kepentingan nasional. Perkara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana negara lain di dunia juga tidak memberi kebebasan mutlak kepada media.

Menyentuh soal kebebasan akhbar di Malaysia, andaian mudah yang sering didengar sebagai menilai tahap kebebasan sesebuah akhbar itu ialah setakat mana ia dapat lari daripada menyokong kerajaan dan dasar-dasarnya. Itulah trend tanggapan masyarakat terbanyak apabila mahu mengukur soal tersebut, walaupun hakikatnya ia bukanlah kayu pengukur yang tepat. Tanggapan sedemikian sebenarnya banyak berkisar dan dicelarukan oleh laporan sesebuah media – apakah ia sensasi. Soal menghentam sesuatu dasar kerajaan atau seseorang pemimpin kerajaan memang boleh menarik pembaca. Itulah antara perkara yang secara tidak bertulis yang dikehendaki oleh setengah pembaca.

Laporan sedemikian terserlah misalnya dalam akhbar yang menjadi organ parti pembangkang tertentu atau menerusi portal tertentu. Namun, soalnya apabila berita atau laporan yang dihasilkan itu dibuat portal mengambil kira etika kewartawanan (canons of journalism) tulen.

Memenuhi trend selera pembaca tidak bermakna sesuatu laporan atau bahan yang dimuatkan dalam sesebuah media itu terbaik. Ia mungkin menjadi bahan yang sebenarnya menyimpang daripada kebenaran – yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sesebuah media yang bertanggungjawab.

Media yang bertanggungiawab adalah yang menyiarkan bahan yang bermanfaat kepada pembaca serta tidak bercanggah dengan agenda pembangunan negara. Sehubungan itu akhbar atau institusi media yang menyokong dasar atau sesuatu program kerajaan tidak wajar dikategorikan sebagai akhbar atau media yang tidak bebas. Pandangan yang mengukur kebebasan media dengan kayu pengukur – tidak menyokong kerajaan – adalah serong serta tidak berpegang kepada etika kewartawanan.

Dr. Mahathir dalam hal ini mempunyai ungkapan yang popular iaitu: “Kebebasan akhbar di Malaysia bukan bermakna hanya untuk mengkritik dan mengecam kerajaan tetapi juga bebas menyokong kerajaan.” Walau apapun dasar atau batas perundangan, media massa di Malaysia masih perlu menjadi watch dog kepada pelbagai perkara termasuklah kepada aspek kerajaan dan agenda pembangunannya. Banyak kes kepincangan pelbagai pihak telah didedahkan oleh media massa dari semasa ke semasa, jika kita imbas kembali laporan-laporan oleh media tempatan.

Globalisasi dan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) memberi cabaran baru kepada media tempatan. Globalisasi realitinya baik tetapi ia perlu dilihat sebagai satu bentuk ancaman kepada Malaysia, selaku negara kecil dan membangun. Ini kerana kuasa besar secara jelas atas platform globalisasi mahu menakluki negara-negara kecil dan rakyatnya termasuklah menerusi pengikisan budaya dan jati diri rakyat. Media massa juga perlu memainkan peranan dengan membina ‘hadangan-hadangan pemikiran’ untuk memastikan tahap jati diri rakyat sentiasa menjadi teras dan benteng ketahanan negara, sekali gus dapat mengelakkan penjajahan budaya dan pemikiran oleh kuasa besar.

Peranan itu perlu didokong oleh media massa yang menggunakan pelbagai bahasa, dan dalam keadaan tertentu, mempunyai sasarannya yang tersendiri. Akhbar berbahasa Cina misalnya sasarannya khusus kepada masyarakat Cina. Tanggungjawab akbar berbahasa Melayu pula misalnya pastilah lebih meluas sasarannya kerana umumnya semua rakyat Malaysia mampu menguasai bahasa itu. Namun sasaran utamanya masih bertumpu kepada masyarakat Melayu, sekalipun tidak dinafikan ramai orang Melayu juga memilih akhbar yang berbahasa Inggeris.

Walau apapun pilihan masyarakat, media massa tidak boleh lari daripada memainkan peranan membina masyarakat Malaysia mengikut acuan yang dikehendaki oleh kerajaan – masyarakat progresif, maju serta hidup harmoni. Selagi masyarakat terpimpin ke arah itu, tiada siapa pun yang boleh mendakwa media massa gagal memainkan peranannya.

Artikel pensyarah kanan kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Ahmad Murad Merican dalam majalah Sasaran keluaran Disember 2000, bahawa kedudukan akhbar dan kewartawanan Melayu masih ketinggalan, adalah sesuatu yang memeranjatkan.

Apatah lagi apabila mengambil kira peranan beliau dalam membina dunia kewartawanan Malaysia. Jika itu benar, beliau perlu bertanya kepada dirinya dan institusi yang diwakilinya yang bertanggungjawab secara langsung dalam melahirkan graduan bumiputera untuk pasaran media massa.

Umumnya, akbar berbahasa Melayu didokong oleh wartawan Melayu dan tanpa menafikan peranan institusi pengajian lain, UiTM sebenarnya adalah antara pengeluar tenaga kerja yang produktif. Apakah beliau mahu mengakui UiTM melahirkan graduan komunikasi massa yang tidak berkualiti sehingga gagal membawa akhbar berbahasa Melayu kepada standard yang dimahukannya? Apa pula kayu pengukurnya? Apakah selama ini anugerah kewartawanan yang dimenangi oleh wartawan dari akhbar Melayu sekadar sandiwara?

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter