Peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 bukan sahaja membawa sinar harapan baharu kepada pengamal media, malah menjadi isyarat penting bahawa negara sedang bergerak ke arah mewujudkan ekosistem media yang lebih progresif, inklusif dan bertanggungjawab.
Dari tangga ke-107 tahun lalu ke tangga ke-88, perubahan ini bukan sekadar angka, sebaliknya ia mencerminkan usaha serius pelbagai pihak dalam memperkukuh peranan media sebagai tiang demokrasi keempat.
Di sebalik sorotan positif itu, apa yang lebih menggembirakan ialah lahirnya kesedaran baharu dalam kalangan pemain industri bahawa kecekapan teknikal dan kebebasan bersuara perlu bergerak seiring. Dalam dunia yang dikuasai oleh aliran maklumat pantas dan pelbagai platform digital, kecekapan media kini meliputi kemahiran mengurus kandungan secara strategik, keupayaan menyaring fakta daripada manipulasi, serta kebolehan beradaptasi dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan analitik data.
Antara contoh yang menonjol ialah penerapan teknologi AI oleh stesen penyiaran utama, yang bukan sahaja mempercepatkan proses penyiaran berita tetapi turut membantu menyampaikan mesej yang lebih inklusif, tepat dan menarik kepada khalayak pelbagai lapisan.
Namun, kebebasan media tetap menjadi nadi yang mendasari kewartawanan bermaruah. Tanpa kebebasan, media menjadi tumpul dan tidak berfungsi sebagai penjaga kepada kepentingan awam. Dalam hal ini, Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) yang diluluskan yang antara lain bertujuan membuka jalan ke arah media yang lebih demokratik, bebas dan beretika di Malaysia adalah sangat penting keberadaannya. Akta Majlis Media Malaysia yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara tahun ini adalah langkah untuk menggalakkan kewartawanan yang bebas, bertanggungjawab dan profesional.
Antara kesan positif daripada peningkatan kebebasan media ini termasuklah peningkatan keyakinan rakyat terhadap media itu sendiri. Apabila masyarakat melihat media diberi ruang untuk menjalankan tugas mereka secara bebas – tanpa tekanan mana-mana pihak atau kongkongan pemilik korporat – kepercayaan akan mula pulih. Kepercayaan ini penting bukan sahaja untuk membina masyarakat bermaklumat, malah menyuburkan budaya semak dan imbang yang sihat.
Selain itu, kebebasan media juga membuka ruang kepada suara yang terpinggir – termasuk komuniti akar umbi, belia dan wanita untuk tampil di pentas wacana nasional. Ini penting dalam memastikan naratif negara tidak dimonopoli oleh satu suara atau kelompok sahaja.
Walaupun landskap media semakin terbuka, Malaysia masih perlu meneroka beberapa langkah strategik untuk menjamin kelestarian kebebasan media secara menyeluruh. Pertama, pemisahan jelas antara pihak tertentu dan pemilikan media perlu dilaksanakan secara lebih tegas. Konglomerat media yang berpaut pada kepentingan tertentu hanya akan melemahkan integriti kandungan.
Kedua, pendidikan kewartawanan dan literasi media perlu dipertingkatkan di peringkat pendidikan tinggi dan awam. Wartawan muda harus dibimbing bukan sahaja dalam aspek teknikal, tetapi juga tentang etika, undang-undang media dan prinsip keadilan sosial.
Ketiga, kebajikan wartawan perlu diberi perhatian serius. Dalam usaha memperjuangkan kebenaran, mereka sering berdepan dengan ancaman keselamatan, tekanan emosi dan pendapatan yang tidak menentu. Kerajaan dan industri perlu menyediakan sistem sokongan yang mantap termasuk perlindungan undang-undang, latihan berkala dan saluran aduan bebas.
Akhir sekali, pelesenan platform digital seperti yang sedang dilaksanakan harus dipantau oleh badan bebas agar tidak bertukar menjadi instrumen kawalan terhadap media baharu. Transparensi dalam pelaksanaan dasar ini akan menentukan sama ada ia benar-benar melindungi pengguna atau sekadar mengekang suara kritikal.
Malaysia kini berada pada ambang penting dalam sejarah medianya. Kemajuan dalam indeks kebebasan media bukan titik penamat, tetapi permulaan kepada sebuah perubahan holistik yang harus melibatkan semua pihak – kerajaan, organisasi media, wartawan dan rakyat. Hanya dengan memperkukuh kecekapan sambil menegakkan kebebasan, kita dapat memastikan media terus menjadi harapan masyarakat, suara kebenaran dan alat pembina tamadun.
