Naratif Media dan Persepsi Masyarakat

Media massa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk, membimbing dan mempengaruhi pemikiran serta persepsi masyarakat terhadap pelbagai isu sosial, politik, ekonomi dan budaya.


Sebagai saluran utama penyebaran maklumat, media bukan sahaja menyampaikan berita, tetapi turut mencorakkan cara sesuatu isu ditanggapi oleh masyarakat melalui cara penyampaian, pemilihan tajuk, penggunaan imej, serta susunan fakta dan emosi yang disampaikan.


Dalam konteks ini, naratif media merujuk kepada rangka cerita atau kerangka makna yang dibina oleh media bagi menggambarkan realiti tertentu, manakala persepsi masyarakat merujuk kepada tafsiran individu dan kelompok terhadap sesuatu isu, berdasarkan maklumat yang diterima dan ditafsirkan.


Kekuatan naratif media terletak pada keupayaannya membentuk pemahaman awam secara beransur-ansur, kadangkala tanpa disedari oleh penerima maklumat. Media boleh memilih untuk memberi penekanan terhadap aspek tertentu sesuatu isu dan dalam masa yang sama mengabaikan aspek lain, lalu membentuk pemikiran awam ke arah tertentu.


Misalnya, liputan berterusan mengenai isu keselamatan dalam sesuatu kawasan boleh meningkatkan ketakutan masyarakat walaupun kadar jenayah sebenar tidak meningkat secara ketara. Begitu juga halnya dalam isu politik, di mana naratif media boleh mempengaruhi penilaian masyarakat terhadap pemimpin atau parti tertentu melalui pemilihan kata-kata, nada laporan dan ruang liputan yang diberikan.


Dalam dunia digital masa kini, peranan naratif media menjadi semakin kompleks kerana wujudnya pelbagai saluran media yang bersaing, termasuk media sosial, portal berita bebas dan blog peribadi. Keadaan ini memperluaskan lagi sumber maklumat yang boleh diakses oleh masyarakat, namun pada masa yang sama mempertingkatkan risiko penyebaran maklumat yang bersifat berat sebelah, palsu atau bersifat sensasi.


Dalam suasana ini, masyarakat mungkin terdedah kepada pelbagai naratif yang bercanggah dan persepsi mereka akan dibentuk bergantung kepada sumber mana yang paling dipercayai atau paling kerap diakses. Oleh itu, berlaku apa yang disebut sebagai ‘echo chamber` atau ruang gema, di mana pengguna media hanya terdedah kepada pandangan yang selari dengan kepercayaan sedia ada mereka, lalu memperkukuh atau mengukuhkan persepsi yang mungkin tidak tepat dengan realiti sebenar.


Dalam era ledakan teknologi maklumat ini juga, muncul satu keperluan baharu yang semakin mendesak dalam kalangan masyarakat iaitu inteligensi media atau kecerdasan media. Inteligensi media merujuk kepada keupayaan seseorang untuk bukan sahaja memahami kandungan media secara literal, tetapi juga menilai dengan kritikal maksud tersirat, niat penyampai maklumat, konteks sosial-politik, serta kesan jangka panjang terhadap pemikiran dan tingkah laku.


Inteligensi media melampaui literasi media biasa kerana ia menggabungkan elemen pemikiran reflektif, empati sosial dan keupayaan membuat penilaian berdasarkan pelbagai sumber dan sudut pandang yang berbeza. Seseorang yang mempunyai inteligensi media yang tinggi tidak hanya menerima maklumat secara pasif, tetapi mampu menyoal, menyaring dan membina naratif alternatif yang lebih seimbang dan bermakna.


Misalnya, apabila berdepan dengan laporan media yang menonjolkan sudut negatif terhadap sesuatu kaum atau kumpulan, individu yang memiliki inteligensi media akan berusaha menilai sama ada laporan itu mewakili keseluruhan realiti atau sekadar dipetik secara selektif. Mereka juga akan mencari sumber tambahan, mempertimbangkan motif pihak penyiar dan menyedari kemungkinan wujudnya agenda politik atau ekonomi di sebalik naratif yang dikemukakan. Dalam jangka panjang, masyarakat yang tinggi tahap inteligensi medianya akan lebih tahan terhadap manipulasi maklumat dan tidak mudah terpedaya dengan propaganda atau hasutan halus yang tersembunyi di sebalik wacana media.


Namun demikian, bukan semua naratif media membawa kesan negatif. Media yang beretika dan bertanggungjawab mampu membina persepsi yang sihat, kritikal dan seimbang dalam masyarakat. Contohnya, naratif yang membina mengenai perpaduan kaum, tanggungjawab sosial atau kesedaran alam sekitar mampu menanam nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat. Di sinilah pentingnya tanggungjawab kewartawanan untuk memastikan maklumat yang disampaikan bukan sahaja tepat dan seimbang, tetapi juga disampaikan dalam konteks yang membina dan tidak mengelirukan.


Keupayaan media untuk mencorak persepsi juga bergantung kepada kredibiliti institusi media itu sendiri. Dalam era di mana kepercayaan terhadap media arus perdana semakin terhakis akibat tuduhan berat sebelah atau berkepentingan politik, masyarakat semakin cenderung mendapatkan maklumat daripada media alternatif. Namun, ini bukan jaminan bahawa media alternatif lebih bebas daripada manipulasi naratif. Sering kali media baharu pula dipergunakan untuk membina naratif yang bersifat populis, konspiratif atau terlalu emosional demi menarik perhatian pembaca. Maka, yang penting bukan sekadar jenis media, tetapi prinsip dan nilai yang menjadi asas penyampaian maklumat tersebut.


Dalam menghadapi pengaruh naratif media, pendidikan yang menanamkan nilai inteligensi media perlu diterapkan seawal mungkin dalam sistem pendidikan formal dan tidak formal. Institusi pendidikan perlu bergerak seiring dengan perubahan landskap komunikasi semasa, dengan memberikan ruang kepada pelajar untuk memahami cara media berfungsi, cara kandungan disusun, dan bagaimana pengetahuan boleh dibentuk atau dimanipulasi melalui media. Pendekatan seperti ini dapat membantu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja celik maklumat tetapi juga bijaksana dalam berfikir dan bertindak, seterusnya dapat menilai sesuatu isu dengan lebih adil dan menyeluruh.


Kesimpulannya, naratif media mempunyai kuasa besar dalam membentuk persepsi masyarakat. Kuasa ini boleh digunakan untuk membina atau meruntuh, untuk memperjelas atau mengelirukan, bergantung kepada siapa yang mengendalikannya dan apa niat di sebaliknya. Oleh itu, media harus menjalankan peranannya dengan tanggungjawab yang tinggi, manakala masyarakat pula perlu dilengkapi bukan sekadar dengan kemahiran literasi media, tetapi juga inteligensi media agar tidak menjadi mangsa kepada naratif yang sempit atau bersifat propaganda.


Dalam dunia maklumat yang serba cepat dan kompleks ini, keseimbangan antara etika media, kecerdasan berfikir dan inteligensi media menjadi asas penting dalam membina persepsi yang adil, rasional dan berpandangan jauh. Sebuah masyarakat yang berdaya intelek dalam menghadapi gelombang maklumat akan lebih berupaya mempertahankan kebenaran dan keadilan dalam ruang wacana awam.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter