Di era digital yang serba pantas dan penuh kaedah berkomunikasi ini, ancaman penipuan dalam talian atau lebih dikenali sebagai “scam” bukan lagi suatu perkara asing. Malah, ia telah menjadi sebahagian daripada realiti harian bagi jutaan pengguna media sosial, aplikasi pesanan segera dan pelbagai platform digital lain.
Scammer atau penipu siber semakin hari semakin canggih, bukan sahaja dari segi manipulasi psikologi, malah turut memanfaatkan teknologi moden serta lubang keselamatan dalam algoritma media sosial untuk memperdayakan mangsa. Platform media yang asalnya direka untuk mempereratkan hubungan manusia kini telah disalahguna menjadi saluran utama penipuan berskala besar dan berulang.
Saya sendiri pernah menjadi salah seorang mangsa kepada helah ini – dan pengalaman itu sangat membekas. Ia membuka mata saya terhadap betapa liciknya komunikasi berantai yang kelihatan tidak berbahaya tetapi sebenarnya sarat dengan agenda tersembunyi.
Scammer pada masa kini tidak lagi beroperasi secara individu dengan pendekatan lapuk seperti e-mel spam atau panggilan telefon yang mencurigakan. Mereka beroperasi dalam rangkaian yang terancang, menggunakan pelbagai watak maya yang kelihatan sah dan menyasarkan mangsa berdasarkan minat, tekanan hidup serta kecenderungan emosi yang mudah dipengaruhi.
Dalam banyak kes, mangsa ditarik melalui pendekatan halus yang menyusup ke ruang-ruang digital harian – seperti komen di media sosial, mesej langsung di WhatsApp atau siaran promosi yang disasarkan kepada kumpulan pengguna tertentu. Platform-platform ini menjadi medan utama kerana ia mengandungi apa yang scammer perlukan: maklumat peribadi, interaksi terbuka dan pengguna yang berada dalam keadaan rapuh dari sudut emosi atau mental – terutamanya mereka yang sedang menghadapi tekanan kewangan, kesepian atau sedang mencari penyelesaian cepat terhadap beban kehidupan.
Dalam pengalaman saya sendiri, ia bermula dengan mesej yang kelihatan mesra – memperkenalkan tawaran wang – melalui e-wallet. Yang menghantar mesej itu adalah mereka yang kita kenal. Sangat menyakinkan dan sebaik arahan link ditekan dan memasukkan nombor telefon kita, maka disitulah bermulanya komunikasi berantai yang menyebarkan ancaman kepada manusia.
Tanpa disedari, saya sudah terjerumus ke dalam perangkap yang direka secara sistematik – komunikasi berantai yang membina kepercayaan palsu dengan menggunakan strategi ‘penguatan sosial’. Mereka tahu bahawa manusia cenderung untuk mempercayai sesuatu apabila ia disokong oleh ramai orang – walaupun semua ‘orang’ itu hanyalah akaun rekaan.
Kumpulan mesej yang kelihatan mesra dan menyokong itu bukan komuniti sebenar – ia adalah struktur penipuan yang diwujudkan khusus untuk memperdaya. Saya menjadi sebahagian daripada statistik yang kian meningkat setiap tahun – dihantui rasa kecewa, marah dan hilang kepercayaan terhadap ruang digital yang sebelum ini menjadi alat komunikasi harian saya. Perasaan ini sukar digambarkan – seakan-akan ditikam dari belakang oleh sistem yang saya anggap selamat.
Apa yang menjadikan fenomena ini lebih membimbangkan ialah penggunaan komunikasi berantai yang sengaja direka untuk mencipta ilusi kredibiliti. Scammer menggunakan elemen psikologi massa – satu mesej yang disebarkan berulang kali oleh berbilang akaun, membina seolah-olah satu konsensus bahawa sesuatu penipuan itu adalah kebenaran. Strategi ini berjaya kerana ia mengeksploitasi kebergantungan manusia kepada bukti sosial. Kita lebih mudah percaya apabila ramai orang menyokong sesuatu, walaupun sebenarnya mereka semua hanyalah bayangan digital yang dicipta untuk tujuan memperdaya.
Platform media, yang sepatutnya menjadi pelindung kepada penggunanya, masih gagal menangani isu ini dengan berkesan. Walaupun terdapat beberapa langkah seperti pengesahan akaun dan sistem pelaporan penipuan, kebanyakan tindakan masih bersifat reaktif, bukan proaktif. Algoritma pula lebih mementingkan interaksi tinggi berbanding ketulenan kandungan. Maka, kandungan penipuan yang mencetuskan emosi – marah, ingin tahu, gembira dengan peluang pelaburan – lebih mudah mendapat perhatian dan tersebar dengan pantas. Ini adalah kegagalan sistemik dalam mengutamakan keselamatan pengguna.
Ancaman scammer di ruang digital juga menunjukkan bagaimana ketidakseimbangan maklumat boleh mencipta jurang kuasa antara pengguna dan penjenayah siber. Ancaman ini bukan hanya perlu dilawan dari sudut teknologi, tetapi juga dengan membina kesedaran, mendidik masyarakat tentang tanda-tanda awal penipuan dan memperkukuh literasi digital secara berterusan. Komunikasi berantai yang digunakan oleh scammer harus dilihat sebagai bentuk manipulasi moden yang menyamar sebagai interaksi sosial – dan ia perlu ditentang dengan pendekatan kolektif.
Kesimpulannya, ancaman scammer dalam platform media bukanlah sekadar isu keselamatan siber, tetapi satu cabaran besar terhadap integriti ruang digital dan kepercayaan sosial. Ia adalah isu kemanusiaan, kerana yang menjadi mangsa adalah individu yang mencari peluang, penyelesaian dan rasa disokong dalam dunia yang semakin sunyi. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kita mengambil pendirian yang lebih tegas – bukan sekadar untuk melindungi diri sendiri, tetapi untuk menjaga keselamatan semua. Komunikasi berantai yang kelihatan seperti bantuan, boleh jadi sebenarnya belenggu yang membawa kepada kerugian dan trauma mendalam. Dan jika kita terus diam, belenggu itu akan terus mengikat mangsa seterusnya.
Akhir kata, jangan klik link yang tidak pasti. Jika klik link pada mesej itu, anda akan terjebak seperti saya, walaupun kita kenal baik dan rapat dengan pengirim !!!