Dalam era maklumat tanpa sempadan, media bukan sahaja menjadi alat penyebaran informasi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, sikap dan tindakan masyarakat. Dalam konteks ini, istilah “pelaporan songsang” merujuk kepada penyampaian berita yang menyimpang daripada fakta sebenar, bersifat berat sebelah, tidak beretika atau diputar belit untuk tujuan tertentu – sama ada demi sensasi, pengaruh politik mahupun keuntungan komersial.
Dalam menghadapi fenomena ini, keperluan kepada solidariti dalam kalangan pengamal media semakin mendesak. Tanpa satu pendirian kolektif yang kukuh, ekosistem media akan terus dicemari oleh laporan-laporan yang mengelirukan, sekaligus menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi kewartawanan itu sendiri.
Solidariti media bukan sekadar slogan retorik. Ia adalah suatu bentuk perpaduan berprinsip antara wartawan, editor, penerbit dan pengamal media lain dalam mempertahankan integriti profesion. Melalui solidariti, media dapat membina benteng kukuh menentang tekanan luar – sama ada daripada kuasa politik, kepentingan korporat atau pengaruh media sosial yang kian meresap ke dalam cara masyarakat menilai berita.
Apabila satu organisasi media memilih untuk melaporkan secara objektif, namun dikepung oleh laporan-laporan songsang dari platform lain, wujudnya keperluan untuk satu konsensus bersama: bahawa etika kewartawanan bukanlah pilihan, tetapi kewajiban.
Pelaporan songsang tidak berlaku dalam vakum. Ia sering disokong oleh budaya clickbait, algoritma media sosial yang memihak kepada sensasi, serta pengurangan tenaga kerja editorial yang menyebabkan semakan fakta diabaikan. Dalam keadaan ini, solidariti media dapat mengambil bentuk yang lebih praktikal – seperti semakan fakta, penyelarasan garis panduan etika rentas platform dan tindakan tegas terhadap individu atau organisasi yang dengan sengaja menyebar laporan palsu. Kerjasama antara organisasi berita, sama ada arus perdana atau alternatif, perlu diperkukuh atas prinsip tanggungjawab bersama terhadap kebenaran.
Solidariti juga bermaksud kesediaan media untuk saling mempertahankan antara satu sama lain apabila prinsip kewartawanan digugat. Contohnya, apabila seorang wartawan diserang atau dikenakan tindakan hanya kerana menjalankan tugas secara profesional, media lain tidak boleh berdiam diri. Dalam persekitaran yang ideal, rakan-rakan seindustri akan tampil menyatakan pendirian dan mendesak agar ruang kebebasan media tidak digugat. Ini bukan soal solidariti peribadi, tetapi komitmen bersama terhadap demokrasi dan kebertanggungjawaban.
Salah satu aspek paling penting dalam solidariti media ialah usaha berterusan untuk mempertahankan integriti profesion kewartawanan. Integriti bukan hanya tentang bercakap benar, tetapi juga tentang menjunjung prinsip keadilan, ketelusan, kesaksamaan dan tanggungjawab sosial. Dalam erti kata lain, wartawan yang berintegriti bukan sekadar melaporkan fakta, tetapi melaporkannya dengan jujur, berimbang dan dalam kerangka yang memberi manfaat kepada khalayak. Integriti ini jugalah yang membezakan media profesional daripada sumber maklumat yang tidak sahih atau dipengaruhi agenda tersembunyi.
Mempertahankan integriti bermaksud menolak tekanan untuk menyiarkan berita berdasarkan kepentingan peribadi, komersial atau politik. Ia menuntut keberanian untuk berkata tidak kepada naratif yang menyesatkan, meskipun datang daripada pihak berkepentingan yang berkuasa.
Wartawan yang menjunjung integriti juga tidak akan menyebar maklumat tanpa pengesahan, apatah lagi jika ia berpotensi menimbulkan ketegangan kaum, kebencian agama atau panik dalam kalangan masyarakat. Dalam dunia yang dipenuhi oleh maklumat separa benar, manipulasi visual dan audio, serta penyebaran berita melalui aplikasi pesanan segera, mempertahankan integriti adalah satu bentuk jihad moral bagi media moden.
Organisasi media pula bertanggungjawab menyediakan ekosistem yang menyokong integriti ini. Ini termasuklah melalui dasar editorial yang jelas, latihan dalaman yang berterusan, mekanisme semakan fakta yang mantap, serta budaya kerja yang menilai hasil laporan bukan berdasarkan jumlah klik semata-mata, tetapi kepada ketepatan dan impaknya kepada masyarakat.
Pengurusan media harus berani meletakkan nilai-nilai etika melebihi keuntungan segera. Tanpa sokongan institusi yang kukuh, wartawan yang berintegriti akan terperangkap dalam dilema antara prinsip dan periuk nasi.
Media juga harus memelihara integriti melalui ketelusan dalaman – menjelaskan kepada pembaca jika berlaku kesilapan dalam laporan, memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan pembetulan yang cepat. Budaya mengaku salah ini bukan tanda kelemahan, malah bukti kepada kekuatan prinsip dan kejujuran dalam profesion.
Dalam masa yang sama, solidariti media perlu disalurkan ke arah menyedarkan orang awam tentang kepentingan menyokong media yang beretika. Ini boleh dilakukan melalui program celik media, kerjasama dengan institusi pendidikan, serta penyebaran bahan-bahan pendidikan yang membantu masyarakat mengenal pasti ciri-ciri pelaporan yang sahih.
Di Malaysia, kesedaran terhadap bahaya pelaporan songsang sudah mula meningkat. Namun, cabaran terbesar adalah memastikan kesedaran ini diterjemah kepada tindakan kolektif yang konsisten. Tanpa solidariti, setiap usaha akan kekal bersifat terpisah-pisah, mudah dipatahkan oleh arus manipulasi digital dan pengaruh luar yang semakin licik.
Kekuatan nilai
Solidariti juga perlu dimanifestasikan melalui latihan berterusan dan pendidikan kewartawanan yang berkualiti. Wartawan perlu diperkasa bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga kekuatan nilai – keberanian untuk berkata benar, kebijaksanaan dalam menilai maklumat dan kepekaan terhadap kesan sosial laporan yang disiarkan. Media juga harus lebih inklusif dalam mendidik masyarakat agar menjadi pengguna berita yang celik media, supaya pelaporan songsang tidak mudah meraih tempat dalam minda pembaca.
Akhirnya, solidariti media bukan sekadar pertahanan terhadap pelaporan songsang, tetapi juga satu bentuk pelaburan moral terhadap masa depan masyarakat. Ia adalah janji bersama bahawa dalam dunia yang penuh kekeliruan dan kepalsuan, media akan terus berdiri sebagai benteng terakhir kebenaran.
Hanya dengan bersatu, pengamal media dapat membersihkan ruang awam daripada maklumat yang memesongkan, dan mengembalikan maruah kewartawanan sebagai profesion yang mulia dan dihormati. Mempertahankan integriti bukan tugas seorang wartawan semata-mata, tetapi amanah seluruh warga media – untuk memastikan bahawa kebenaran sentiasa mendapat ruang, walau dalam dunia yang semakin kabur garis antara fakta dan fitnah.