MPI sambut baik keputusan kerajaan benarkan penganjuran kursus, latihan
Malaysian Press Institute (MPI) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, bengkel, kursus, latihan dan persidangan untuk dijalankan seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan pengumuman kerajaan pada 17 Jun yang lalu.
Pengurus Unit Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin berkata, keputusan kerajaan itu penting kerana pelaksanaan latihan merupakan teras utama kegiatan MPI.
Menurut beliau, perkara ini membolehkan MPI untuk menggerakkan semula latihan yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan pada 18 Mac 2020 yang lepas.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penganjuran seminar, persidangan, bengkel, kursus dan latihan dibenarkan dengan jumlah peserta maksimum 250 orang, bergantung kepada keluasan dewan.
Bagaimanapun kursus-kursus anjuran MPI lazimnya dihadiri tidak kurang daripada 20 orang peserta. Mengambil kira SOP PKPP itu, tiada masalah untuk menganjurkan semula kegiatan-kegiatan latihan MPI.
“MPI akan patuh sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan garis panduan yang dibekalkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) mengenai prosedur dan syarat penganjuran semasa Pandemik Covid-19 ini ,” tegas Hafiza.
Berikut merupakan SOP sepanjang program dijalankan oleh MPI:
1. Sanitasi tangan dan topeng muka akan dibekalkan kepada setiap peserta
2. Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan sebelum memasuki bilik latihan
3. Penjarakan sosial satu meter bagi setiap susunan tempat duduk
4. Pendaftaran diri dengan Kod QR ‘MySejahtera’ diluar bilik latihan
5. Makanan akan dibungkus dan dimakan ditempat duduk masing-masing
6. Maksimum peserta adalah 15 orang setiap sesi
Program latihan pertama adalah Kursus Penulisan Media Berkesan yang akan diadakan pada 14 – 15 Julai 2020.
Lain- lain kursus akan diberitahu dari masa ke semasa.