ZAMALAH WARTAWAN MALAYSIA 2018

KENYATAAN MEDIA

ZAMALAH WARTAWAN MALAYSIA 2018

Zamalah Wartawan Malaysia 2018 akan berlangsung di Kuching selama dua (2) minggu bermula 3 hingga 14 Disember 2018. Program tahunan anjuran Malaysian Press Institute (MPI) ini dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr.) Haji Abdul Rahman Abang Zohari bin Tun Abang Haji Openg di Merdeka Palace Hotel & Suites, Kuching.

Puan Norhafiza Kamaludin, Pengurus Latihan MPI

Menurut Pengurus Latihan MPI, Puan Norhafiza Kamaludin seramai 25 orang wartawan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung akan menyertai Zamalah Wartawan Malaysia 2018 kali ini.

Puan Norhafiza menjelaskan selama dua minggu mengikuti Zamalah Wartawan Malaysia para peserta akan didedahkan  dengan pelbagai aspek pelaporan berita, kewartawanan siasatan, penulisan rencana, kewartawanan multimedia dan digital, undang-undang media, etika kewartawanan dan memahami fungsi tiga kuasa Negara.

“Para peserta Zamalah bukan sahaja akan mendengar ceramah dan menghadiri kuliah. Mereka juga perlu melakukan latihan praktikal, penulisan berita dan rencana serta menghasilkan penerbitan video untuk edisi dalam talian. Mereka juga akan mengadakan lawatan ke tempat-tempat terpilih di Kuching, Batang Ai dan Santubong,” ujar beliau.

Menurut Puan Norhafiza lagi, peserta juga akan berdialog dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Pengarah Unit Ekonomi Sarawak. Dalam kunjungan-kunjungan itu kecekapan para peserta bertanya soalan akan diuji untuk menggali sebanyak mungkin maklumat yang mungkin boleh digunakan untuk menulis berita dan penulisan rencana.

Antara penceramah yang akan ditampilkan dalam Zamalah Wartawan Malaysia kali ini ialah Tokoh Undang-Undang, Datuk Salleh Buang, Pensyarah Kanan Kewartawanan UNIMAS, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir, Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, Mantan Pengarang Kanan The Star, Dr. T. Selva dan Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

MPI turut merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri dalam menjayakan Zamalah Wartawan Malaysia kali ini. Ini merupakan kali kedua Kuching menjadi tuan rumah kepada program MPI. Kali pertama ialah pada tahun 2012.

Selain didedahkan kepada ilmu kewartawanan, program Zamalah yang dianjurkan oleh MPI ini bertujuan untuk memupuk semangat kesetiakawanan yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Ini adalah sesuai dengan maksud zamalah itu sendiri yang asalnya daripada perkataan Arab dan apabila diterjemahkan ke Bahasa Melayu bermaksud persahabatan, pergaulan yang karib, kesetiakawanan dan kebersamaan,” Kata Puan Norhafiza Kamaludin.

 

Dikeluarkan pada: 28 November 2018