Wakil Malaysian Press Institute (MPI) hadir dalam forum Kebebasan Media, yang dianjurkan oleh Gerakan Media Merdeka (GERAMM) di Gerakbudaya, Petaling Jaya, Selangor pada 17 dan 18 Mei 2025. Forum ini adalah bersempena Hari Kebebasan Media 2025.
Acara yang dihadiri pengamal media, pertubuhan bukan kerajaan dan wartawan dari Malaysia dan Indonesia ini, tidak hanya mengupas cabaran yang dialami oleh pengamal media tetapi juga memperlihatkan bagaimana platform seperti podcast digunakan untuk menyebarkan berita secara bebas dan mendalam.
Dengan memberi fokus bagaimana wartawan menghadapi tekanan dalam menyampaikan berita, ia juga membincangkan bagaimana wartawan perlu berhadapan dengan pelbagai bentuk gangguan. Wartawan sering kali menghadapi dilema antara melaporkan fakta dan mengekalkan kebebasan mereka dalam menyampaikan berita tanpa dipengaruhi oleh pihak berkepentingan. Dalam konteks ini, kebebasan bilik berita bukan sekadar membenarkan wartawan bekerja tanpa halangan tetapi juga memastikan mereka dapat berfungsi sebagai pengawal maklumat yang memberikan gambaran sebenar tentang sesuatu isu.
Perbincangan ini menggambarkan betapa dunia kewartawanan kini semakin kompleks. Media tidak lagi terbatas kepada akhbar dan televisyen, sebaliknya telah berkembang ke arah platform digital seperti podcast, yang membolehkan pengamal media berkongsi perspektif mereka secara lebih terbuka. Apa yang jelas, ketika maklumat hari ini boleh dimanipulasi dan disebarkan dengan mudah, kehadiran wartawan yang bebas dan berintegriti amat penting dalam memastikan masyarakat menerima berita yang benar dan tidak berat sebelah.
Panel terdiri daripada: Puan Muzliza Mustafa (moderator), pengacara Bocor Alus Podcast – dari Indonesia, Encik Hussein Abri Dongoran; Puan Liyana Marzuki (wartawan) dan Encik Syahril A. Kadir (pencipta kandungan digital). Selain itu, sesi hari kedua dikendalikan Puan Haslina AR Kamaluddin (wartawan) dengan panel Editor Media Selangor, Encik Fathi Aris Omar; Ketua Editor Malaysia World News merangkap Penolong Presiden Confederation of ASEAN Journalists, Puan Norila Daud, serta Ketua Bilik Berita NARASI dari Indonesia, Encik Laban Abraham.
Kredit Foto: Gerakan Media Merdeka (GeramM)





