Putrajaya, 26 April 2026 – Kerjasama strategik antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjadi langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara media dan agensi kerajaan, khususnya dalam menyokong agenda produktiviti negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Inisiatif ini diperkukuh melalui Sesi Interaksi Media sempena ulang tahun ke-60 MPC yang menghimpunkan lebih 60 pengamal media.
Hari ini, program Striking Productivity: MPC X Media Bowling Meet-Up telah diadakan di Wangsa Bowl, IOI City Mall Putrajaya bagi mempereratkan hubungan antara media dan MPC, sekali gus mengukuhkan peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan inisiatif produktiviti kepada industri dan masyarakat.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, yang turut merakamkan penghargaan serta menegaskan komitmen MPC dalam memperkukuh kerjasama bersama media.
MPI yang hadir diketuai oleh Pengurus Anugerah & Unit Projek Khas, Encik Salman Husni Abdollah, Eksekutif Pentadbiran dan Kesetiausahaan, Puan Nurfatin Syahira, Pelatih Akaun dan Pentadbiran, Cik Nur Fatin Izzati dan Pelatih Kandungan Kreatif, Cik Nurul Ifatul Aisyah.








