The Dot. | Ruang Gema Maklumat

Dalam landskap komunikasi digital masa kini, pembentukan pendapat awam semakin dipengaruhi oleh fenomena yang dikenali sebagai Echo Chamber atau ruang gema maklumat . Fenomena ini merujuk kepada keadaan di mana individu atau kumpulan masyarakat hanya terdedah kepada maklumat, pandangan dan naratif yang selari dengan kepercayaan sedia ada mereka, manakala pandangan yang berbeza atau bertentangan disisihkan secara sistematik.

Pendedahan berulang kepada maklumat sehala ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan peribadi, malah membentuk persepsi seolah-olah pandangan tersebut mewakili suara majoriti, walaupun hakikatnya wujud kepelbagaian pandangan dalam masyarakat.

Ruang gema maklumat terbentuk melalui gabungan pilihan tingkah laku pengguna dan mekanisme algoritma platform media sosial. Pengguna cenderung mengikuti akaun, tokoh atau halaman yang sehaluan dengan pandangan politik, ideologi atau emosi mereka, manakala algoritma pula memperkukuh kecenderungan ini dengan terus mencadangkan kandungan yang serupa.

Akibatnya, komunikasi awam tidak lagi berlaku dalam ruang terbuka yang membenarkan pertembungan idea secara sihat, sebaliknya berlaku dalam persekitaran maklumat yang tertutup dan kurang cabaran intelektual. Dalam keadaan ini, pendapat peribadi mudah disalah tafsir sebagai kebenaran kolektif.

Dalam konteks komunikasi kerajaan, ruang gema maklumat berperanan sebagai pedang bermata dua. Dari sudut keberkesanan, ia berpotensi membantu kerajaan menyampaikan mesej dengan lebih pantas dan tersasar kepada kumpulan tertentu.

Dasar awam, kempen kesihatan, maklumat keselamatan atau inisiatif kebajikan boleh disesuaikan mengikut segmen masyarakat yang telah dikenal pasti, sekali gus meningkatkan kadar penerimaan dan pematuhan. Dalam situasi krisis, seperti pandemik atau bencana alam, saluran komunikasi yang bergerak dalam ruang gema maklumat tertentu boleh mempercepatkan penyebaran maklumat rasmi dan mengurangkan kekeliruan dalam kalangan kumpulan sasaran.

Namun demikian, keberkesanan ini sering bersifat jangka pendek dan selektif. Apabila komunikasi kerajaan terlalu bergantung kepada ruang gema maklumat penyokong sedia ada, mesej kerajaan gagal menembusi kelompok masyarakat yang bersikap kritikal, ragu-ragu atau berbeza pandangan.

Keadaan ini mewujudkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat, di mana sebahagian masyarakat berasa tidak diwakili, tidak didengari atau diketepikan daripada proses wacana awam. Lama-kelamaan, timbul persepsi bahawa kerajaan hanya berkomunikasi dengan kelompok tertentu dan tidak benar-benar berinteraksi dengan keseluruhan rakyat.

Risiko yang lebih membimbangkan ialah apabila ruang gema maklumat menjadi tapak subur kepada penyebaran maklumat salah dan diberikan maklumat mengelirukan. Dalam persekitaran maklumat yang tertutup, sesuatu kandungan tidak lagi dinilai berdasarkan kesahihan fakta atau bukti empirikal, sebaliknya dinilai berdasarkan keserasian dengan emosi, kepercayaan dan sentimen kumpulan.

Naratif yang mengukuhkan rasa takut, marah atau tidak percaya terhadap institusi mudah tersebar tanpa proses semakan fakta yang mencukupi. Apabila maklumat salah ini diulang secara konsisten, ia akan kelihatan benar dan sah dalam konteks dalaman kumpulan tersebut, walaupun bercanggah dengan realiti sebenar.

Dalam hubungan komunikasi antara kerajaan dan rakyat, keadaan ini boleh menjejaskan kefahaman awam terhadap dasar yang bersifat kompleks. Dasar awam yang memerlukan penjelasan menyeluruh sering disederhanakan secara melampau, dipetik di luar konteks atau digabungkan dengan spekulasi sehingga membentuk naratif yang mengelirukan.

Apabila kerajaan tampil memberikan penjelasan atau pembetulan, mesej tersebut sering gagal menembusi ruang gema maklumat yang telah terbina kukuh, kerana kepercayaan pengguna lebih terarah kepada sumber dalaman kumpulan berbanding saluran rasmi. Keadaan ini melemahkan fungsi komunikasi dua hala dan mengubah komunikasi awam menjadi monolog selari dalam ruang maklumat yang terpisah.

Implikasi jangka panjang fenomena ini ialah peningkatan komuniti sosial dan kemerosotan keupayaan masyarakat untuk mencapai kefahaman bersama. Setiap kumpulan terus mengukuhkan pandangan masing-masing tanpa kesediaan untuk mendengar atau mempertimbangkan perspektif berbeza.

Dalam konteks tadbir urus, situasi ini mencabar prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keterangkuman yang menjadi asas komunikasi kerajaan yang berkesan. Tanpa strategi komunikasi yang merentas ruang gema maklumat, usaha kerajaan untuk membina kepercayaan dan legitimasi awam akan berdepan halangan yang ketara.

Oleh itu, pengurusan ruang gema maklumat perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Kerajaan tidak boleh sekadar mengejar keberkesanan algoritma atau sokongan kumpulan tertentu, sebaliknya perlu membangunkan pendekatan komunikasi yang inklusif, berfakta dan terbuka kepada dialog.

Ini termasuk kesediaan untuk berinteraksi dengan kritikan, menjelaskan dasar secara berperingkat dan menggunakan bahasa yang mudah difahami tanpa mengorbankan ketepatan maklumat. Pada masa yang sama, rakyat sebagai pengguna media perlu mempunyai literasi media yang kukuh, kesedaran terhadap kewujudan ruang gema maklumat, serta kesediaan untuk merujuk pelbagai sumber sebelum membentuk pendapat.

Ruang gema maklumat memainkan peranan signifikan dalam pembentukan pendapat awam dan hubungan komunikasi antara kerajaan dan rakyat. Walaupun ia boleh meningkatkan keberkesanan komunikasi dalam situasi tertentu, fenomena ini turut membawa risiko besar terhadap penyebaran salah maklumat, penghakisan kepercayaan awam dan sosial.

Cabaran sebenar bukan sekadar mengelakkan kewujudan ruang gema maklumat, tetapi mengurusnya secara beretika dan bertanggungjawab agar komunikasi awam kekal seimbang, berfakta dan berpaksikan kepentingan bersama.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter