KUALA LUMPUR | 9 Januari 2026 – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail, pagi ini menghadiri Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (Focus Group Discussion – FGD) secara bersemuka bersama sekumpulan wakil industri, penyelidik dan pensyarah.
Sesi perbincangan tersebut diketuai oleh Ketua Projek Penyelidikan dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr. Siti Ezaleila Mustafa, bersama Penyelidik merangkap Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr. Nor Zaliza Sarmiti @ Sarmidi, serta Pembantu Penyelidik, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Encik Randy Gardaffy Mohammad Firdaus.
Perbincangan ini melibatkan kajian bertajuk “Garis Panduan Etika dan Polisi Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Organisasi Media di Malaysia”, yang bertujuan mendalami amalan semasa, mengenal pasti cabaran utama serta meneliti elemen-elemen penting dalam pembentukan kerangka etika penggunaan AI dalam organisasi media di negara ini.
Kajian tersebut turut memberi tumpuan kepada penerokaan praktis sedia ada, pengenalpastian isu dan cabaran etika, serta pencadangan satu kerangka piawaian etika yang bersesuaian bagi memastikan penggunaan teknologi AI dalam organisasi media dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berintegriti.
Turut hadir dalam sesi perbincangan ini ialah Presiden Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PTS Media Group, Encik Arief Hakim Sani Rahmat; Pengarah Inovasi National AI Office (NAIO), Encik Alhafidz Yahya; Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media, UiTM Cawangan Melaka, Dr. Norazlinda Mohammad dan Pengurus Bahagian Strategi, Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), Puan Har Yen Yen.








