MPI, ITBM teroka kerjasama latihan terjemahan dan penerbitan buku kewartawanan

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) meninjau peluang kerjasama strategik dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melalui satu kunjungan hormat ke Wisma ITBM di sini hari ini, yang memfokuskan kepada pembangunan latihan terjemahan untuk wartawan serta potensi kolaborasi dalam penerbitan buku berkaitan bidang kewartawanan.

Sekretariat MPI diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Pengurus Besar Puan Norlida Jamain dan Eksekutif Kandungan Kreatif Encik Muhammad Asyraf Rosmidi.

Ketibaan rombongan tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Tuan Haji Sakri Abdullah, bersama Ketua Jabatan Penerbitan Encik Khairulnizam Mohamad Yunis, Ketua Bahagian Latihan dan Kejurubahasaan Encik Ahmad Shuaimi Yunos, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan, Cik Norzaiti Abdul Talib serta pegawai daripada Jabatan Penerbitan ITBM.

Perbincangan antara kedua-dua pihak memberi penekanan kepada kemungkinan penganjuran program latihan dan kursus terjemahan yang bersesuaian untuk wartawan serta pengamal media. Inisiatif ini dilihat penting dalam memperkukuh keupayaan penterjemahan kandungan berita dan bahan komunikasi bagi memastikan penyampaian maklumat merentas bahasa dapat dilakukan dengan lebih tepat dan berkesan.

Selain aspek latihan, pertemuan tersebut turut meneliti potensi penerbitan buku yang memberi tumpuan kepada dunia kewartawanan, termasuk karya yang menghimpunkan pengalaman industri, perkembangan media serta dinamika profesion kewartawanan di Malaysia.

Melalui inisiatif ini, MPI dan ITBM berharap dapat menggabungkan kepakaran masing-masing bagi memperkaya khazanah ilmu dalam bidang kewartawanan dan penterjemahan, di samping menyokong usaha meningkatkan profesionalisme pengamal media di negara ini.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter