MPI, JPT Teroka Kerjasama Strategik Perkasa Ekosistem Media dan Akademia

PUTRAJAYA, 2 April 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) meneroka kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) bagi memperkukuh hubungan antara industri media dan institusi pengajian tinggi, dengan penekanan terhadap pembangunan bakat, latihan profesional dan pengiktirafan karya dalam bidang media dan komunikasi.

Perkara itu dibincangkan dalam sesi bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman di Jabatan Pendidikan Tinggi, hari ini.

Delegasi MPI diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, bersama Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain; Tenaga Pengajar Profesional, Puan Azwaliza Azman; serta Eksekutif Kandungan Kreatif, Encik Muhammad Asyraf Rosmidi.

Antara tumpuan utama ialah cadangan penganjuran anugerah bagi mengiktiraf karya cemerlang pensyarah dan pelajar, sekali gus merangsang penghasilan kandungan yang kreatif, berkualiti tinggi yang mendapat pengiktirafan industri.

MPI dan JPT turut membincangkan pelaksanaan program latihan melalui inisiatif Rakan Media IPT yang menyasarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pelajar terpilih sebagai penyampai maklumat dan suara institusi. Inisiatif ini memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran komunikasi, penulisan media dan keupayaan berperanan sebagai jurucakap yang berwibawa.

Selain itu, latihan pengurusan krisis media dicadang dilaksanakan secara komprehensif melibatkan Pegawai Perhubungan Awam universiti bagi memperkukuh kecekapan mengurus isu dan reputasi secara strategik, pantas dan profesional.

Dalam masa sama, pensyarah turut diberi penekanan melalui latihan penulisan agar hasil penyelidikan dan kepakaran dapat disampaikan dalam bahasa yang lebih mudah difahami masyarakat, sekali gus meningkatkan tahap literasi awam terhadap isu semasa dan perkembangan teknologi.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam merapatkan jurang antara akademia dan industri, seterusnya memperkukuh ekosistem media negara yang lebih berdaya saing dan relevan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter