Destinasi terakhir kunjungan MPI ialah ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebuah universiti awam yang memberi penekanan kepada pendidikan berteraskan kemahiran teknikal dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang terletak di Durian Tunggal, Melaka. Delegasi MPI telah mengadakan sesi pertemuan bersama Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Ts. Dr. Ahmad Shaarizan Shaarani, Pensyarah Media Interaktif, Ts. Dr. Mohamad Lutfi Dolhalit, serta Penolong Pendaftar Kanan fakulti, Encik Hafiz Mohd Puad.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak membincangkan potensi kolaborasi strategik antara MPI dan FTMK, khususnya dalam memperkasa kebolehpasaran graduan berkemahiran teknikal yang berkaitan dengan teknologi media dan kecerdasan buatan (AI). Delegasi MPI turut berpeluang meninjau fasiliti pembelajaran fakulti termasuk studio dan makmal yang memfokuskan kepada teknologi terkini seperti Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR).
Lawatan tersebut memberi gambaran jelas mengenai pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi yang diterapkan kepada pelajar UTeM, selaras dengan perkembangan industri media digital masa kini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengurus Kanan Unit Pengurusan Projek MPI, Dr. Nuzatul Shima Sulaiman dan Puan Norhafiza Kamaludin, bersama Pengurus Unit Kewangan dan Pentadbiran, Encik Yusof Saharin, serta Pelatih Kandungan Kreatif, Cik Nurul Ifatul Aisyah.
Secara keseluruhannya, siri kunjungan ini dijangka membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara MPI dan rakan-rakan strategiknya di Melaka, sekali gus memberi manfaat bukan sahaja kepada pengamal media, malah kepada pegawai komunikasi korporat serta pelajar universiti yang bakal menyertai industri pada masa hadapan.













