
KUALA LUMPUR, 8 Jun 2026 – Seramai 34 penerima diraikan pada Anugerah Media Agrobank 2026 yang berlangsung di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur bagi mengiktiraf sumbangan pengamal media dalam menghasilkan laporan dan karya berkualiti berkaitan sektor pertanian, keterjaminan makanan serta inisiatif pembangunan Agrobank.
Penganjuran ini menjadi platform penghargaan kepada media yang memainkan peranan penting dalam membina kefahaman awam, mengangkat naratif pertanian serta memperluaskan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sektor agromakanan negara.
Majlis berprestij itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi Agrobank, Datuk Yvonne Chia, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Pengurus Besar MPI, Norlida Jamain serta barisan pengurusan MPI.
Hadir sama pengamal media dari seluruh negara yang mewakili pelbagai organisasi media tempatan termasuk media cetak, portal berita, televisyen, radio dan platform digital.
Pada tahun ini, hadiah keseluruhan bernilai RM60,000 ditawarkan kepada pemenang merentasi beberapa kategori termasuk media cetak dan portal berita, penyiaran televisyen dan video dalam talian, radio, kewartawanan teknologi digital serta kategori pelajar.

Antara pemenang utama kategori Media Cetak & Portal (Berita), juara diraih Muhammad Al-Hafiz Ithnin (Harian Metro), diikuti Ahmad Mukhsein Mukhtar (NST) dan pasukan Sinar Harian. Bagi kategori Media Radio Terbaik, Wan Nadia Khairani Wan Chik (Bernama Radio) muncul juara, manakala Nor Ain Abu Bakar dan Noor Sharidah Shaffie (RTM) memenangi tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori Teknologi & Digital, Juara disandang Haniza Mohamed Hanippon (RTM) diikuti Muhammad Basir Roslan (Bernama). Kategori Penyiaran TV & Video Dalam Talian (Dokumentari), Juara dimenangi oleh Rozihan Mohd Raji (RTM).
Anugerah Media Agrobank menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Agrobank untuk memperkukuh komunikasi awam mengenai peranan institusi kewangan pembangunan dalam menyokong sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.



