NILAI, 11 Mei 2026 – Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini telah mengadakan sesi Perbincangan Ilmiah dan Semakan Kurikulum Program PhD Komunikasi bagi memperkukuh pembangunan akademik, penyelidikan dan hubungan strategik antara universiti serta industri media dan komunikasi negara.
Dalam sesi tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail telah dijemput sebagai Penasihat Luar Industri untuk memberikan pandangan profesional berkaitan pelaksanaan program akademik, termasuk aspek objektif program, hasil pembelajaran, struktur kurikulum, penilaian kursus, penambahbaikan berterusan serta kesesuaian program dengan kehendak industri tempatan dan antarabangsa.
Perbincangan turut memberi fokus kepada cadangan aktiviti tambahan yang mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan, meningkatkan hubungan antara akademia dan industri, serta memastikan penyelidikan dan latihan komunikasi berada pada tahap yang lebih strategik, praktikal dan berimpak tinggi.
Turut dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan bersama ahli fakulti dan pusat pengajian, termasuk penyediaan laporan penilaian serta cadangan pengukuhan kurikulum kepada pihak fakulti bagi memperkasakan Program PhD Komunikasi USIM sebagai program yang lebih kompetitif dan dirujuk industri.
Sesi semakan ini berlangsung di Bilik Mesyuarat Dekan (BMD), Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM, Nilai dan melibatkan beberapa ahli akademik serta tenaga pengajar fakulti.
Antara yang hadir ialah Prof. Dr. Mohd Yahya bin Mohamed Ariffin (Associate Fellow); Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Dr Kartini Kamaruzzaman; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr Muhammad Raqib Mohd Sufian; Dr. Suria Hani A. Rahman dan Dr. Rosninawati Hussin.
Sesi ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh jaringan akademia-industri serta memastikan pembangunan kurikulum komunikasi sentiasa selari dengan perubahan landskap media, teknologi, komunikasi strategik dan keperluan industri masa hadapan.



