MPI Perkukuh Literasi Dokumen Terperingkat Dalam Kalangan Editor Media

CYBERJAYA, 12 Mei 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) menegaskan bahawa wartawan perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan serta menerbitkan dokumen kerajaan terperingkat bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang dan mengekalkan integriti media.

Presidennya, Datuk Yong Soo Heong berkata, wartawan sentiasa berada di persimpangan antara hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat dan tanggungjawab menjaga keselamatan serta kerahsiaan negara.

Menurut beliau, dokumen yang diklasifikasikan sebagai Rahsia Besar, Rahsia, Sulit dan Terhad bukan sekadar melibatkan bahan berita, tetapi turut memberi implikasi kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kepercayaan terhadap institusi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Literasi Dokumen Terperingkat Bersama Editor – Siri Akademia Media anjuran MPI, yang turut menampilkan pegawai daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan Jabatan Peguam Negara sebagai penceramah di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.

Katanya, Akta Rahsia Rasmi 1972 bukan sekadar undang-undang, tetapi menjadi peringatan kepada pengamal media bahawa kecuaian dalam mengurus maklumat terperingkat boleh membawa tindakan undang-undang, menjejaskan reputasi dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap media.

“Sebagai wartawan, kredibiliti media bukan hanya dibina melalui apa yang diterbitkan, tetapi juga melalui apa yang dipilih untuk tidak diterbitkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sikap berhati-hati dan pertimbangan profesional bukan kelemahan, sebaliknya menunjukkan keupayaan media menyeimbangkan ketelusan dengan tanggungjawab.

Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen MPI untuk terus menjadi pusat latihan kewartawanan yang memperkukuh profesionalisme, etika dan integriti pengamal media di negara ini.

Program hari ini memberi fokus kepada pemahaman pengamal media mengenai pengendalian dokumen terperingkat, keselamatan maklumat rasmi serta implikasi perundangan melibatkan organisasi media.

Sesi pertama bertajuk Klasifikasi (Rahsia Besar, Rahsia, Sulit, Terhad), Prosedur Pengendalian dan Pelanggaran Keselamatan Dokumen disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keselamatan ICT & Rahsia Rasmi, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, Tuan Adzrol Hisham bin Mohamad.

Dalam sesi tersebut, peserta diberikan pendedahan berkaitan kategori dokumen rasmi kerajaan, tatacara pengendalian dokumen terperingkat serta kesan dan tindakan yang boleh dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran keselamatan maklumat.

Sementara itu, sesi kedua bertajuk Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Risiko Jenayah kepada Editor dan Organisasi Media dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara, Tuan Mohd Sabri bin Othman.

Beliau menjelaskan aspek perundangan berkaitan penerbitan kandungan melibatkan dokumen rasmi kerajaan, tanggungjawab editor serta risiko kesalahan jenayah yang boleh dihadapi oleh individu dan organisasi media.

Program ini turut membuka ruang dialog dan sesi soal jawab bagi membolehkan editor mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan cabaran sebenar yang dihadapi pengamal media dalam pengendalian dokumen dan maklumat sensitif. Seramai 24 peserta terdiri daripada Ketua Pengarang, Pengurusan Editorial Kanan agensi media serta Editor hadir mendengar program ilmu ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail serta Ahli Majlis Pentadbir dan sekretariat MPI.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter