CYBERJAYA, 25 Mei 2026 – Suasana penuh penghargaan dan rasa terima kasih mewarnai Majlis Perpisahan yang diadakan hari ini bagi meraikan salah seorang warga kerja MPI, Encik Muhammad Asyraf Rosmidi yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Eksekutif Kandungan Kreatif selepas berkhidmat selama satu tahun lima bulan di MPI.
Majlis yang berlangsung dalam suasana sederhana tetapi penuh bermakna itu menjadi simbol penghargaan MPI terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang bersama organisasi. Kehadiran semua warga kerja MPI turut mencerminkan penghormatan serta apresiasi terhadap peranan dan komitmen yang telah ditunjukkan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dalam majlis yang sama, MPI turut mengadakan Majlis Penghargaan buat Pelatih Kandungan Kreatif, Cik Nurul Ifatul Aisyah atas kejayaannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penyiaran Kelas Pertama, selain menerima Anugerah Naib Canselor sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104 pada 23 Mei 2026 lalu.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Presiden MPI, Yong Soo Heong, yang dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan serta komitmen Encik Muhammad Asyraf Rosmidi sepanjang tempoh perkhidmatannya, di samping mengucapkan tahniah kepada Cik Nurul Ifatul Aisyah atas pencapaian akademiknya yang cemerlang.
MPI mendoakan semoga kedua-dua wakil MPI ini terus maju jaya dalam mencapai kecemerlangan hidup masing-masing.










