CYBERJAYA, 20 Mei 2026 – Hari pertama Kursus AI Digital Storytelling anjuran Malaysian Press Institute (MPI) memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan kandungan kreatif termasuk video dan lagu digital.
Kursus yang berlangsung di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, dengan penyertaan 11 orang pengamal media dan pegawai perhubungan awam.
Sepanjang sesi latihan, peserta diperkenalkan kepada pelbagai aplikasi dan alat bantuan AI yang boleh digunakan bagi menghasilkan video, audio serta muzik secara lebih pantas dan kreatif untuk tujuan penceritaan digital.
Latihan berkenaan merupakan persediaan awal kepada tugasan utama pada hari kedua kursus yang akan menyaksikan peserta menghasilkan sebuah penerbitan berita perdana menggunakan bantuan teknologi AI.
Melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, peserta turut diberi peluang meneroka teknik penyuntingan kandungan, penjanaan visual dan audio, selain memahami kaedah mengintegrasikan AI dalam proses kerja yang kian pantas.










