MPI dan City University Malaysia Perkukuh Kolaborasi Pendidikan Kewartawanan

CYBERJAYA, 24 Julai – Malaysian Press Institute (MPI) terus memperkukuh agenda merapatkan jurang antara industri media dan institusi pengajian tinggi menerusi kerjasama strategik bersama City University Malaysia, dalam usaha memperkasa pendidikan kewartawanan serta melahirkan graduan yang lebih bersedia memenuhi keperluan industri media yang semakin berkembang.

Perbincangan bersama Dekan Fakulti Industri Kreatif (FOCI), Prof. Madya Dr. Nadia Mohd. Nasir, memberi fokus kepada penerokaan peluang kolaborasi dalam pembangunan pendidikan kewartawanan, termasuk pengajian di peringkat sarjana, latihan profesional, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat. Kedua-dua pihak turut merancang untuk menganjurkan Forum Fotografi Media pada penghujung tahun ini sebagai platform menghimpunkan jurugambar media bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan profesion tersebut, termasuk perkembangan teknologi visual, etika kewartawanan foto, keselamatan ketika bertugas serta cabaran dan masa depan bidang fotografi media.

Dalam pertemuan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail, turut dilantik sebagai Penasihat Industri bagi program Bachelor of Communications (Hons) (Journalism). Pelantikan tersebut membolehkan beliau menyumbang kepakaran dalam memperkukuh kurikulum agar selari dengan kehendak industri, selain meningkatkan kebolehpasaran graduan. Dr. Ainol juga kini memegang peranan sebagai penasihat industri di beberapa universiti awam dan swasta lain dalam bidang komunikasi dan kewartawanan.

Dr. Ainol berkata, hubungan yang lebih erat antara institusi akademik dan industri media amat penting bagi memastikan pembangunan kurikulum sentiasa mengikuti perubahan teknologi, keperluan organisasi media serta landskap kewartawanan digital yang semakin mencabar.

Beliau berkata, MPI komited untuk terus menjadi jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan industri melalui pelbagai program latihan, forum, penyelidikan dan pembangunan profesional demi melahirkan pengamal media yang berkemahiran tinggi serta graduan yang benar-benar bersedia memasuki dunia pekerjaan.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Dr. Nur Farazilla Mohd Arsad, Pensyarah Kanan merangkap Ketua Program, Sarjana Komunikasi Kreatif, Encik Fakir Mohamad Md Nor,
Ketua, Perkongsian Strategik (Institusi Pengajian Tinggi) dan Nur Izzati Ariffin, Ketua Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan), City University Malaysia.

#MPIcommit

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter