MPI Perkasa Kemahiran AI Siakap Keli Menerusi Bengkel Bilik Berita AI Lanjutan

CYBERJAYA, 16 November 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) terus memperkukuh keupayaan organisasi media dalam mendepani transformasi digital menerusi penganjuran Bengkel Bilik Berita AI Lanjutan: Penghasilan Video, Audio dan Automasi Penceritaan Digital yang dikhususkan kepada organisasi media, Siakap Keli.

Bengkel yang berlangsung di DPulze Hawking Training Room, Cyberjaya itu disertai sembilan peserta daripada Siakap Keli di bawah Dana Inovasi Media, dengan bimbingan penceramah, Encik Munir Anaam Zuljadan, Penganalisis Media.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta diberikan pendedahan secara lebih mendalam mengenai penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa proses penghasilan kandungan digital, khususnya melibatkan penerbitan video, audio serta automasi penceritaan. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta memahami bagaimana teknologi AI boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan kandungan yang lebih kreatif, menarik dan bersesuaian dengan kehendak audiens masa kini.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada potensi penggunaan AI dalam memperkemas aliran kerja bilik berita, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa penghasilan kandungan serta mengoptimumkan sumber sedia ada. Penguasaan teknologi ini dilihat semakin penting bagi organisasi media yang perlu menghasilkan kandungan berkualiti secara konsisten dalam persekitaran digital yang pantas dan kompetitif.

Perkembangan teknologi AI turut membawa perubahan besar terhadap kaedah penyampaian berita dan penceritaan digital. Justeru, pengamal media perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam mengadaptasi teknologi baharu tanpa mengabaikan prinsip asas kewartawanan, termasuk ketepatan maklumat, kredibiliti dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Penganjuran bengkel ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPI dalam membantu organisasi media meneroka potensi teknologi baharu, memperkukuh kompetensi tenaga kerja serta meningkatkan keupayaan industri media tempatan untuk bersaing dalam landskap kewartawanan digital.

MPI komited untuk terus memainkan peranan sebagai institusi pembangunan profesionalisme media melalui penyediaan program latihan yang relevan, inovatif dan selari dengan keperluan semasa industri.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest