KUALA LUMPUR, 7 Mei – Forum Media HAWANA 2026 bermula meriah dengan menghimpunkan pengamal media, pemain industri komunikasi serta agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh landskap media negara di ibu negara hari ini.
Program sehari itu dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin. Turut menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Forum itu turut dihadiri Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Yong Soo Heong bersama barisan pengurusan dan pengamal media dari pelbagai organisasi.
Forum berkenaan menampilkan tiga sesi utama yang membincangkan cabaran dan masa depan industri media negara; Sustaining Media in Times of Crisis: Challenges and Revenue Realities, How Journalists Navigate the Evolving Media Landscape dan Shaping the Future of Malaysian Media in the Digital and AI Era.
Penganjuran Forum Media HAWANA 2026 turut menyaksikan jalinan kerjasama strategik antara BERNAMA bersama MPI dan Majlis Media Malaysia (MMM) dalam memperkukuh pembangunan industri media serta meningkatkan profesionalisme pengamal media di negara ini.
Forum Media HAWANA 2026 menjadi platform penting dalam menggalakkan perkongsian idea, jaringan kerjasama dan perbincangan konstruktif ke arah memperkasakan ekosistem media yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing selari dengan perkembangan teknologi komunikasi semasa.













