Bengkel Ejen AI Buka Dimensi Baharu Dalam Kewartawanan

CYBERJAYA, 19 Ogos 2026 – Hari pertama Bengkel Ejen AI anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang berlangsung selama dua hari, 19 dan 20 Ogos 2026 di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya, disertai seramai 15 peserta terdiri daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan portal Channel 10. Bengkel ini memberi fokus kepada penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam tugasan kewartawanan serta penghasilan kandungan digital.

Kursus ini dikendalikan oleh Penceramah selaku Penganalisa Media dan Mantan Editor NSTP, Encik Munir Anaam Zuljadan. Hari ini, peserta diberikan pendedahan mengenai gambaran keseluruhan AI dalam kewartawanan, termasuk pengenalan kepada ChatGPT sebagai alat sokongan dalam proses kerja kewartawanan. Peserta turut mempelajari kaedah membina AI Agent menggunakan fungsi Projects bagi membantu menyusun tugasan, mengurus maklumat dan meningkatkan kecekapan aliran kerja.

Selain itu, untuk hari pertama ini peserta didedahkan kepada kaedah penyelidikan dan pengesahan maklumat berbantukan AI menggunakan Perplexity, dengan penekanan terhadap kepentingan menyemak ketepatan serta kredibiliti maklumat sebelum digunakan dalam penghasilan kandungan. Pendekatan ini mampu memperkukuh kemahiran peserta dalam memanfaatkan AI secara strategik, bertanggungjawab dan beretika, selaras dengan keperluan landskap kewartawanan digital masa kini.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest