PUTRAJAYA, 8 Jun 2026 – Forum bertajuk “Peranan Media dalam Pencegahan Tingkah Laku Bunuh Diri: Ubah Tanggapan, Bina Harapan” menekankan kepentingan etika kewartawanan dan tanggungjawab media dalam melaporkan isu bunuh diri secara berhemah, tepat serta tidak mencetuskan kesan negatif kepada masyarakat.
Forum tersebut memberi fokus kepada peranan media dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kesihatan mental, selain menggalakkan pendekatan laporan yang lebih beretika, empati dan berorientasikan sokongan serta harapan kepada individu yang berdepan tekanan emosi.
Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil berkata semua platform media perlu mempunyai batas dan tanggungjawab dalam melaporkan kes bunuh diri bagi mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Menurut beliau, laporan berkaitan bunuh diri tidak seharusnya disensasikan atau diperincikan secara keterlaluan, sebaliknya perlu berpandukan etika kewartawanan serta memberi penekanan kepada mesej sokongan, pendidikan dan kesedaran kesihatan mental.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata media memainkan peranan penting dalam membantu usaha pencegahan bunuh diri melalui penyampaian maklumat yang bertanggungjawab dan sensitif terhadap mangsa serta keluarga terlibat.
Turut hadir, Presiden Malaysian Press Institute, Datuk Yong Soo Heong.
Forum yang disertai oleh wakil semua pengamal media di Malaysia ini turut menyeru agar tidak melaporkan berita bersifat sensasi, sebaliknya memperkukuh penyebaran mesej kesedaran, sokongan komuniti dan akses kepada bantuan kesihatan mental demi membina masyarakat yang lebih prihatin dan berdaya tahan.






