Generasi Media Perlu Kuasai Visual Bertanggungjawab – Datuk Yong

UCAPAN DATUK YONG SOO HEONG, 9 DISEMBER 2026, FORUM MINI KEWARTAWANAN UITM REMBAU

Pertama sekali, izinkan saya merakamkan penghargaan kepada pihak UiTM Kampus Rembau atas kerjasama erat dalam menjayakan Forum Kewartawanan pada hari ini. 

MPI sangat berbesar hati atas kesudian logistik dan usaha seperti ini kerana ia membuka ruang dialog, perkongsian ilmu, dan pendedahan praktikal yang amat penting untuk generasi baharu dunia media. 

Semua ini ada kaitan dengan peribahasa yang berbunyi “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”!

Hadirin sekalian,

Tajuk forum hari ini, “Infografik & Kewartawanan Era Digital: Antara Etika, Visual & Teknologi,” sangat relevan dengan perubahan landskap media yang berlaku secara drastik. 

Dalam dunia yang diselimuti maklumat tanpa henti, visual bukan lagi sekadar pelengkap berita — tetapi menjadi antara elemen utama yang mempengaruhi kefahaman, persepsi dan keputusan masyarakat.

Penghasilan infografik yang baik tidak hanya bergantung pada kreativiti atau teknologi. Ia juga menuntut ketelitian fakta, kefahaman konteks, dan yang paling penting, pemeliharaan etika kewartawanan. 

Dalam era digital, cabaran terbesar bukan lagi kekurangan maklumat, tetapi bagaimana memastikan maklumat itu tepat, bertanggungjawab dan tidak dimanipulasi oleh bentuk visual yang boleh mengelirukan. 

Dan di sinilah saya ingin menekankan betapa pentingnya naratif dimasukkan bersama visual. Penulisan sebagai naratif adalah pelengkap penting untuk memberi penjelasan yang amat tepat selain visual yang kreatif. 

Dan dalam Bahasa Inggeris — It doesn’t mean a thing if you do not have words to explain things, although some orang tua many thousands of years ago did say that a picture paints a thousand words.

Oleh itu, keseimbangan antara visual yang menarik,  naratif yang jelas serta semangat beretika sentiasa menjadi pegangan. 

Tanpa etika, teknologi boleh disalahgunakan. Tanpa fakta atau naratif, infografik hanya menjadi seni hiasan kosong. 

Dalam hal seni hiasan kosong, saya bagi contoh mengenai sebuah iklan Pertandingan Terakhir BWF untuk tahun 2025 yang dipamerkan di Astro. 

Infografik tidak mengatakan lokasi tempat pertarungan. Bagi peminat badminton, itu penting kerana iklim akan memberi kesan kepada prestasi sesuatu pemain-pemain. 

Maka kita diuji untuk meneka di mana pertandingan akan diadakan kerana lokasi akan sedikit-sebanyak mempengaruhi corak permainan.

Mengapa saya menekankan kepada penulisan? Seperti yang dikatakan oleh seorang penulis dalam akhbar The Times of London baru-baru ini: kalau kita terlalu bercenderungan dengan visual sahaja, dalam 50 tahun akan datang kita akan kembali seperti masyarakat hidup dalam gua yang mengandungi lakaran gambar untuk membayangkan ciri-ciri kehidupan mereka. Erti kata, penulisan amatlah penting. Janganlah menjadi geng buta huruf!  

Hadirin yang dihormati,

MPI sebagai sebuah institusi latihan media sentiasa komited untuk memperkukuhkan profesionalisme kewartawanan di Malaysia. Kami percaya bahawa generasi muda—khususnya mahasiswa seperti saudara-saudari—adalah teras kepada masa depan industri. 

Program seperti ini adalah salah satu peluang penting untuk memberikan pendedahan nyata tentang dunia kewartawanan yang sebenar, termasuk cabaran keselamatan, tekanan kecepatan berita, dan keperluan menguasai kemahiran multimedia.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada para panelis yang hadir hari ini—mereka bukan sahaja berpengalaman, malah memiliki perjalanan kerjaya yang penuh nilai dan inspirasi. Saya yakin perkongsian mereka akan memperluaskan perspektif para peserta.

Para pelajar yang saya kasihi,

Ambillah peluang ini untuk bertanya, mendengar dan menyerap sebanyak mungkin ilmu supaya dapat menghasilkan kandungan visual yang berkesan. Dunia media menuntut individu yang kritis, pantas belajar dan berintegriti tinggi. Anda bukan sahaja bakal menjadi pengamal media, tetapi juga penjaga kebenaran dalam masyarakat.

Saya berharap forum ini akan menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan antara MPI dan UiTM Kampus Rembau. Semoga wacana hari ini memperkukuhkan kefahaman kita mengenai peranan infografik dan teknologi yang menyeluruh dalam kewartawanan.

Saya mengakhiri ucapan saya dengan sebuah pantun yang ringkas:

Burung merpati terbang beriring,
Singgah sebentar di pohon jati;
Di Rembau komunikasi budi seiring,
Menyulam makna membina hati.  

Mentari pagi sinar gemilang,
Menyuluh dunia penuh cahaya;
Pelajar Rembau berjuang panjang,
Mencipta wacana supaya negara berjaya. 

(SEKIAN, TERIMA KASIH).

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter