BUTTERWORTH, 20 Jun 2026 – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di PICCA Convention Centre @ Arena, Pulau Pinang hari ini berlangsung dengan penuh meriah dan berprestij yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, sambutan tahunan yang menjadi platform utama pengamal media negara itu menghimpunkan wartawan, pengamal industri media, tokoh kewartawanan serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh peranan media sebagai institusi yang dipercayai rakyat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, sekali gus mencerminkan pengiktirafan berterusan kerajaan terhadap sumbangan besar warga media dalam pembangunan negara.
Kemuncak sambutan menyaksikan penyampaian Anugerah HAWANA 2026 kepada Datuk Suhaimi Sulaiman, bekas Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebagai penghargaan atas jasa, dedikasi dan sumbangan besar beliau dalam memartabatkan dunia kewartawanan dan penyiaran negara.
Turut disampaikan Anugerah Khas HAWANA 2026 (Anumerta) kepada Allahyarham Azlan Idris yang diterima oleh isteri beliau, sebagai pengiktirafan terhadap legasi dan sumbangan bermakna yang ditinggalkan kepada industri media tanah air.
Pelbagai pengisian istimewa mewarnai majlis kemuncak HAWANA 2026, antaranya persembahan Boria, segmen Kapsul HAWANA, penyampaian hadiah Pesta Pantun HAWANA–DBP 2026, tayangan kapsul “AI di Sebalik Berita”, penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA serta penyampaian anugerah-anugerah utama HAWANA 2026.
Lebih daripada sekadar sebuah sambutan, HAWANA menjadi simbol penghargaan kepada pengamal media yang saban hari berdepan pelbagai cabaran dalam menyampaikan maklumat yang sahih, tepat dan bertanggungjawab kepada masyarakat. Semangat kebersamaan yang dizahirkan sepanjang sambutan ini diharap dapat terus memperkukuh industri media negara, sekali gus memastikan profesion kewartawanan kekal relevan, berintegriti dan diyakini dalam mendepani landskap komunikasi yang semakin mencabar.







