CYBERJAYA, 6 Ogos 2026 – Mesyuarat Jawatankuasa Pemberian Bantuan Geran Tahunan Kementerian Komunikasi Tahun 2026 kepada Institute of Public Relations Malaysia (IPRM) dan Malaysian Press Institute (MPI) telah berlangsung hari ini yang bertempat di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Mesyuarat yang menghimpunkan wakil Kementerian Komunikasi, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), IPRM dan MPI itu bertujuan membentangkan rumusan terhadap geran tahunan Kementerian Komunikasi serta hala tuju akan datang bagi MPI melaksanakan program-program pembangunan industri media dan komunikasi.
Perbincangan ini turut memberi penekanan kepada usaha MPI dalam memastikan peruntukan yang diamanahkan ini dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh pembangunan modal insan, mempertingkatkan profesionalisme pengamal media dan komunikasi, serta menyokong pembangunan ekosistem media negara yang mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran landskap komunikasi yang semakin dinamik.
Pertemuan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Bahria Mohd. Tamil, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi, bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Encik Erwin Khairul Ahmad, serta barisan delegasi JAPEN.
Manakala Malaysian Press Institute (MPI) diketuai oleh Presiden, Datuk Yong Soo Heong, bersama Pengurus Kanan Kewangan & Akaun, Encik Yusof Saharin Haron; Pengurus Projek Khas, Puan Ramizah Abdul Aziz; Koordinator Projek, Puan Afiqah Rahmat, serta barisan sekretariat MPI yang lain.









