MPI Buka Permohonan Dua Diploma Profesional Bertaraf Antarabangsa Untuk Wartawan dan Pengamal Media

CYBERJAYA, 17 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) akan membuka permohonan bagi pengambilan pertama Diploma Profesional AI Journalism dan Diploma Profesional Cybersecurity Journalism mulai 31 Julai 2026, sekali gus mempelawa semua organisasi media di seluruh negara mencalonkan wartawan untuk mengikuti program pembangunan profesional bertaraf antarabangsa ini. Kedua-dua program tersebut dibangunkan secara strategik melalui kerjasama antara Malaysian Press Institute (MPI), Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Universiti Teknologi Malaysia School of Professional and Continuing Education (UTMSPACE) di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri (ADI).

Lebih membanggakan, silibus kedua-dua diploma ini telah menerima kelulusan dan akreditasi antarabangsa daripada London Examination Board (LEB), sekali gus memberikan nilai tambah kepada peserta melalui pengiktirafan yang diiktiraf di peringkat global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail, berkata pengenalan kedua-dua diploma tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kompetensi profesional wartawan dan pengamal media dalam mendepani cabaran industri media yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan ancaman keselamatan siber.

“AI kini menjadi sebahagian daripada ekosistem bilik berita moden. Justeru, wartawan bukan sahaja perlu menguasai teknologi ini, malah memahami penggunaannya secara beretika, mampu mengesahkan maklumat, mengenal pasti kandungan yang dimanipulasi serta menghasilkan laporan yang tepat dan berintegriti.

“Pada masa yang sama, aspek keselamatan siber semakin kritikal apabila kandungan media, data organisasi dan maklumat digital berdepan pelbagai ancaman penyalahgunaan. Wartawan dan organisasi media perlu memahami prinsip keselamatan siber bagi melindungi maklumat, menjaga privasi data serta memperkukuh kredibiliti organisasi,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan antarabangsa daripada London Examination Board memberikan kelebihan kepada peserta kerana sijil yang diperoleh mempunyai nilai global, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran, pembangunan kerjaya dan profesionalisme dalam industri media. Menurut beliau, modul pembelajaran turut dibangunkan bersama UTMSPACE bagi memastikan kandungannya memenuhi standard akademik, berorientasikan industri dan selari dengan perkembangan semasa sektor media serta komunikasi.

Program Diploma Profesional AI Journalism memberi penekanan kepada penggunaan AI dalam penghasilan kandungan berita, pengesahan fakta, analisis data, automasi bilik berita, etika penggunaan AI serta aplikasi teknologi dalam kewartawanan moden. Sementara itu, Diploma Profesional Cybersecurity Journalism memberi fokus kepada pemahaman ancaman siber, perlindungan data, keselamatan maklumat, privasi digital, pengurusan risiko serta pelaporan isu-isu keselamatan siber secara bertanggungjawab dan profesional.

Kedua-dua program akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian selama tiga bulan menggunakan pendekatan pembelajaran yang fleksibel, praktikal dan berasaskan keperluan industri. Pengambilan pertama melibatkan 40 peserta yang terdiri daripada wartawan media berusia antara 18 hingga 40 tahun yang sedang berkhidmat di organisasi media.

MPI berharap inisiatif ini akan menjadi platform penting dalam melahirkan generasi wartawan dan pengamal media yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap media global melalui penguasaan teknologi baharu tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

Organisasi media di seluruh negara dipelawa mencalonkan wartawan dan pengamal media masing-masing untuk mengikuti program bertaraf antarabangsa ini. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Malaysian Press Institute (MPI) di www.mpi.my.

#MPICommit

 

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest