KUALA LUMPUR, 7 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) menyertai program anjuran Malaysia Productivity Corporation (MPC) di Hotel Melia Kuala Lumpur hari ini untuk memperkukuh pengetahuan, memperluas jaringan strategik serta mendalami pelaksanaan Akademi Dalam Industri (ADI) dalam menyokong pembangunan modal insan berasaskan keperluan industri.
Penyertaan MPI dalam program ini selaras dengan aspirasi institusi untuk memperkukuh pembangunan bakat kewartawanan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri, sekali gus meneroka potensi pelaksanaan model ADI dalam bidang kewartawanan dan media. Pendekatan ini dilihat mampu memperkukuh hubungan antara institusi latihan dan industri media bagi melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten, berkemahiran serta bersedia menghadapi perubahan landskap komunikasi dan teknologi.
Program tersebut menghimpunkan pelbagai pemegang taruh industri, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi membincangkan perkembangan semasa serta hala tuju masa depan tenaga kerja Malaysia dalam era transformasi digital.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan sebelum diteruskan dengan ucaptama oleh YBrs. Dr. Mohd. Yusof Saari, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Future Studies Berhad (THE FUTURE). Beliau berkongsi perspektif strategik mengenai perubahan landskap industri, cabaran masa depan serta keperluan memperkukuh daya saing negara melalui pembangunan modal insan, inovasi dan transformasi digital.
Sesi perkongsian turut menampilkan barisan panel berpengalaman yang terdiri daripada YBhg. Dato’ Seri Wong Siew Hai, Presiden MSIA merangkap Champion E&E Productivity Nexus (EPN); Mr. Tan Eng Tong (ET Tan), Pengasas ET Partners Sdn. Bhd.; serta YBrs. Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Timbalan Ketua Pengarah MPC. Perbincangan yang dikendalikan oleh Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar itu menyentuh pelbagai isu berkaitan produktiviti, inovasi, pembangunan bakat dan kesiapsiagaan industri dalam menghadapi perubahan teknologi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil kepada rakan strategik sebagai penghargaan terhadap jalinan kerjasama yang berterusan, diikuti dengan sesi pengenalan Akademi Dalam Industri (ADI) – model pembelajaran berasaskan industri bagi memperkukuh pembangunan bakat mengikut keperluan sektor masing-masing.
Program diteruskan dengan sesi perkongsian bertajuk “AI-driven Workforce Evolutions: Redefining Skills, Jobs and Productivity in Malaysia”, yang memberi fokus kepada impak kecerdasan buatan (AI) terhadap transformasi kemahiran, perubahan landskap pekerjaan serta peningkatan produktiviti negara.
Turut diadakan sesi perbincangan kumpulan (breakout session) yang menghimpunkan pakar industri bagi memperincikan isu serta cadangan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Antara panel yang terlibat ialah YBrs. Dr. Azlina Ahmad, YBrs. Dr. Hari Narayanan, Mr. Mohamad Muzaffar Abdul Hamid dan Ms. Ng Sze Yen.
Bagi MPI, penyertaan dalam program ini memperkukuhkan kefahaman terhadap model Akademi Dalam Industri (ADI) yang akan diaplikasikan dalam pembangunan pendidikan dan latihan kewartawanan negara.
MPI dihadiri oleh Nur Ramizah Abd Aziz, Pengurus Projek Khas, Salman Husni, Pengurus Penyelaras Anugerah Projek Khas dan Norfatin Syahira Jusoh, Eksekutif Pentadbiran/Kesetiausahaan.
#mpicommit





