MPI Dilantik Sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) bagi Sub-Sektor Kewartawanan Media

KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) secara rasmi dilantik sebagai
Industry Lead Body (ILB) bagi sub-sektor kewartawanan dan media di bawah seliaan Jabatan
Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, sekali gus memperkukuh
peranannya sebagai institusi peneraju dalam pembangunan modal insan, standard
kompetensi dan profesionalisme industri media negara.


Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, berkata pelantikan itu merupakan satu
pengiktirafan penting terhadap keupayaan MPI dalam menerajui pembangunan kompetensi
tenaga kerja media, di samping memastikan profesion kewartawanan terus berkembang selari
dengan perubahan teknologi, keperluan industri dan aspirasi negara.


Beliau berkata, sebagai Industry Lead Body, MPI akan bekerjasama rapat dengan Jabatan
Pembangunan Kemahiran (JPK), organisasi media, institusi pengajian tinggi dan penyedia
latihan bagi membangunkan serta mengemas kini National Occupational Skills Standard
(NOSS) untuk bidang kewartawanan dan media.


Piawaian itu akan menjadi asas kepada pembangunan kurikulum latihan, pensijilan kemahiran
dan pembangunan bakat yang meliputi kewartawanan digital, kecerdasan buatan (AI), analisis
data, multimedia, keselamatan digital serta kompetensi profesional yang diperlukan oleh
industri media masa kini.


Menurut beliau, pelantikan tersebut turut membuka laluan kepada wartawan, editor,
jurufoto, juruvideo, penerbit kandungan, penyunting visual dan pengamal media lain untuk
memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Kemahiran Malaysia melalui
kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).


Pendekatan itu membolehkan pengalaman kerja dan kompetensi profesional yang dimiliki
dinilai serta diiktiraf secara rasmi, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran, mobiliti kerjaya
dan profesionalisme pengamal media.


Dr Ainol turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pembangunan
Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia atas kepercayaan dan pengiktirafan yang
diberikan kepada MPI sebagai Industry Lead Body bagi subsektor kewartawanan dan media.
Beliau berkata, pengiktirafan itu melihatkan keyakinan kerajaan terhadap peranan MPI
sebagai institusi yang mampu memacu pembangunan standard kemahiran dan kompetensi
industri media negara secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.


Industry Lead Body (ILB) merupakan organisasi peneraju industri yang dilantik oleh
Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi
menerajui pembangunan standard kemahiran, kompetensi pekerjaan dan pembangunan
bakat mengikut sektor masing-masing.


Dalam konteks kewartawanan dan media, pelantikan MPI sebagai Industry Lead Body (ILB)
amat signifikan kerana ia meletakkan pembangunan modal insan industri pada landasan yang
lebih tersusun, berpandukan keperluan sebenar organisasi media serta perkembangan
teknologi semasa.


Melalui peranan ini, MPI akan membantu memastikan latihan dan Sistem Pensijilan
Kemahiran Malaysia diperkasa dan sentiasa relevan dengan kehendak industri,
memperkukuh hubungan antara kerajaan, institusi pengajian tinggi dan organisasi media,
serta mengekalkan etika, integriti, semakan fakta dan kredibiliti kewartawanan sebagai teras
utama pembangunan kompetensi.


Langkah ini dijangka memperkukuh daya saing industri media Malaysia, melahirkan tenaga
kerja yang lebih berkemahiran dan memperkasakan profesion kewartawanan dalam
mendepani era transformasi digital.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest