KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) menghargai sumbangan 23 penulis yang menjayakan penerbitan buku khas Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan, yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Malam Wartawan Malaysia 2026 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-PETRONAS 2025 di The Majestic Hotel, di sini, malam ini.
Sebagai tanda penghargaan, MPI mengadakan majlis ringkas penyerahan sijil penghargaan dan senaskhah buku kepada setiap penulis. Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, di ruang photo booth majlis sebelum kesemua penulis diperkenalkan kepada Perdana Menteri di meja khas yang disediakan oleh sekretariat. Penerbitan buku tersebut menghimpunkan catatan peribadi wartawan dalam sebuah dokumentasi yang menampilkan pengalaman sebenar, cabaran, nilai dan perjalanan kerjaya mereka.
Lebih istimewa, setiap artikel diterbitkan dalam bentuk asal tanpa suntingan oleh pihak penerbit bagi mengekalkan keaslian penceritaan, tanggungjawab penulis terhadap karya masing-masing serta menghormati integriti penulisan yang dikongsikan.
Setiap artikel turut disertakan dengan gambar peribadi yang dipilih sendiri oleh penulis bagi melengkapkan naratif pengalaman mereka. Kesemua 23 artikel dalam buku ini dihasilkan oleh barisan pengarang kanan, editor, penerbit, wartawan veteran serta wartawan muda dari pelbagai organisasi media. Penyertaan mereka adalah hasil panggilan terbuka yang dibuat oleh MPI menerusi laman web rasmi dan platform media sosial institut ini, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan warga media dalam mendokumentasikan sejarah serta pengalaman profesion kewartawanan untuk tatapan generasi akan datang.
Penyumbang dalam buku ini ialah Datuk Seri Azman Ujang, Jack Nadarajah, Dr. G Manimaran, Dr. Ramachandran Ponnan, Razali Awang, Rosli Mohd. Nordin, Jamhariah Jaafar, Wan Jailani Razak, Abdul Hamid Abdullah, Jerry Chong, Lok Sai Mun, Voo Phin Sang, Kog Jeng Li, Azry Ahmad Mustafa, Soon Li Wei, Su Lin Tan, Ghaz Ghazali, Fauzrina Bulka, Serina Olivia Chong, Megat Samsul Kamal, Rebecca Chong, Naim Aziz dan Dr. Ainol. Buku ini tidak dijual dan ia boleh diakses oleh pembaca di laman web MPI, www.mpi.my selepas ini.
Dr Ainol berkata penerbitan buku ini bukan sekadar menghimpunkan kisah di sebalik penghasilan berita, tetapi turut merakamkan sisi kemanusiaan seorang wartawan yang sering berdepan pelbagai cabaran ketika melaksanakan amanah kepada masyarakat. Menurut beliau, dokumentasi seumpama itu penting sebagai sebahagian daripada warisan kewartawanan negara agar pengalaman, pengorbanan dan nilai profesional yang dimiliki pengamal media tidak hilang ditelan peredaran masa.
Beliau berkata kejayaan penerbitan Di Sebalik Tabir Kerjaya Wartawan menjadi pemangkin kepada MPI untuk meneruskan inisiatif sama pada masa hadapan menerusi siri kedua yang akan memberi lebih banyak ruang kepada wartawan berkongsi pengalaman dan perspektif mereka sendiri. Katanya, MPI komited untuk terus mendokumentasikan kisah pengamal media sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada negara, di samping memastikan sejarah dan evolusi kewartawanan Malaysia terus dipelihara dalam bentuk penerbitan yang boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat serta generasi wartawan akan datang.





