PUTRAJAYA, 18 Mei 2026 – Cadangan pembangunan program Diploma Wartawan berasaskan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) untuk wartawan dan pengamal media menjadi fokus utama dalam sesi perbincangan melibatkan Malaysian Press Institute (MPI), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE) di Putrajaya hari ini.
Program diploma yang dicadangkan itu bertujuan memberi peluang kepada wartawan dan pengamal media berpengalaman mendapatkan pengiktirafan akademik formal melalui penilaian pengalaman kerja dan kepakaran selain silibus pembelajaran yang ditawarkan kelak.
Perbincangan tersebut dipengerusikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Erfy Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kecemerlangan Akademik (BKA), JPT.
MPI diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail bersama Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain dan Eksekutif Kesetiausahaan, Puan Nurfatin Syahira Jusoh.
Sementara itu, MACE diwakili Presidennya, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin; Naib Presiden, Professor Madya Dr. Hasrina Mustafa serta Ahli MACE, Dr. Tan Poh Ling.
Turut hadir mewakili BKA JPT ialah Encik Nazri Saidin dan Encik Muhammad Adam Hamzi.
Cadangan pembangunan diploma tersebut juga dilihat mampu memperkukuh profesional wartawan dan pengamal media di negara ini, di samping mengiktiraf pengalaman industri sebagai sebahagian daripada laluan pendidikan tinggi negara.
Kita memerlukan sistem pendidikan yang berteraskan kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi, industri media serta agensi kelayakan bagi memastikan wartawan dan pengamal media memperoleh akses kepada diploma yang diiktiraf oleh badan pendidikan negara. Pendekatan ini bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan kerjaya dan peningkatan kompetensi, malah mengangkat pengalaman luas pengamal media di lapangan sebagai nilai akademik yang signifikan.
Dalam era media digital, transformasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat, kerjasama erat antara akademia dan industri menjadi keperluan penting bagi melahirkan wartawan dan pengamal media yang lebih kompeten, beretika, berkemahiran tinggi serta mampu memenuhi tuntutan semasa industri media negara.











