PUTRAJAYA, 7 Mei 2026 – Hasil pertemuan antara Malaysian Press Institute (MPI) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini membuka ruang kepada potensi kerjasama strategik dalam memperkukuhkan komunikasi media, penyampaian maklumat serta pembangunan industri media negara.
Pertemuan yang berlangsung di Pejabat KPKM di Putrajaya itu turut membincangkan beberapa cadangan kerjasama termasuk penganjuran forum komunikasi strategik berkaitan cabaran dan ancaman dunia media masa kini, selain usaha mewujudkan program apresiasi media serta anugerah khas bagi menghargai sumbangan pengamal media.
Kehadiran delegasi MPI telah disambut baik oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad Sabu. Hadir sama dalam perbincangan itu ialah Setiausaha Akhbar, Encik Adeysham Nor; Pegawai Perhubungan Awam Kanan Unit Komunikasi Korporat, Encik Hasim Mohamed dan Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat, Puan Saidatul Naziah Marsin.
MPI pula diketuai oleh Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain bersama Pengurus Kanan Unit Kewangan dan Akaun, Encik Yusof Saharin; Eksekutif Pentadbiran/Kesetiausahaan, Puan Norfatin Syahira; serta Pelatih Kandungan Kreatif, Cik Nurul Ifatul Aisyah.
Melalui hasil pertemuan ini, kedua-dua pihak berharap hubungan kerjasama antara MPI dan KPKM dapat terus diperkukuhkan sekali gus membuka lebih banyak peluang kolaborasi dalam memperkasa komunikasi strategik, literasi media dan pembangunan ekosistem media yang lebih mampan di negara ini.














