CYBERJAYA – Malaysian Press Institute (MPI) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini mengadakan mesyuarat secara dalam talian bagi meneroka kerjasama dua hala dalam bidang media, komunikasi dan kewartawanan selain teknikal dan teknologi, selari dengan keperluan pembangunan kemahiran serta pemerkasaan ilmu dalam landskap komunikasi semasa.
Mesyuarat tersebut diketuai oleh Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat UTHM, Prof. Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad, bersama Pn. Suriayati Baharom. MPI pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail, serta Pn. Norlida Jamain, Pengurus Besar MPI.
Perbincangan memfokuskan kepada potensi kerjasama strategik melibatkan pembangunan kemahiran media dan komunikasi, pertukaran ilmu dalam bidang kewartawanan, serta penerokaan penulisan ilmiah yang menghubungkan perspektif akademik dan amalan profesional media. Kedua-dua pihak turut membincangkan pembangunan ilmu berkaitan TVET (media dan komunikasi) selaras dengan UTHM sebagai universiti yang mengintegrasikan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.
Menurut Dr. Ainol Amriz Ismail, kerjasama antara institusi latihan profesional dan universiti awam amat penting bagi memastikan pembangunan bakat media tidak terpisah daripada realiti industri sebenar.
“MPI melihat kerjasama ini sebagai satu langkah strategik untuk merapatkan jurang antara latihan profesional, keperluan industri dan ekosistem akademik. Media hari ini memerlukan bakat yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga memiliki kemahiran praktikal, pemikiran kritikal serta kefahaman etika yang kukuh,”
Sebagai langkah susulan, satu kunjungan hormat MPI ke Pejabat Naib Canselor UTHM dirancang bagi memperincikan hala tuju kerjasama strategik ini, selain merangka pelaksanaan program bersama melibatkan pelajar dan pensyarah, termasuk latihan, bengkel serta sesi perkongsian kepakaran industri.
Kerjasama ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri media, sekali gus menyumbang kepada pembangunan wartawan dan pengamal komunikasi yang lebih berkemahiran, berwibawa dan berdaya saing.




